Covid-19: Kluster Pedas meningkat, 36 kes baharu dikesan

Dr Noor Hisham bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
Dr Noor Hisham bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jumlah kes Covid-19 kluster Pedas yang membabitkan pekerja asing di kilang pemprosesan ayam terus meningkat apabila 36 kes positif wabak itu dikesan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes positif baharu itu telah dikesan hasil saringan ulangan dijalankan dalam tempoh kuarantin.

"Mereka masih diasingkan di pusat kuarantin. Justeru ia tidak membawa risiko penularan kepada masyarakat," katanya.

Menurutnya, pertambahan angka itu menjadikan jumlah kumulatif kluster itu melonjak kepada 256 kes.

"Kluster ini melibatkan 14 kes warga tempatan dan 242 bukan warganegara," katanya.

Menurutnya, seramai 136 warga Nepal disahkan positif Covid-19, 55 melibatkan warga Bangladesh, 26 kes warga Myanmar dan 21 warga Indonesia.

"Tiga kes lagi melibatkan warga India dan satu kes warga Vietnam," katanya.

Sementara itu, 55 kes positif dikesan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

Artikel Berkaitan:

Ia menjadikan jumlah kes positif di depoh itu sebanyak 338 kes.

Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Sepang dan Putrajaya tidak merekodkan sebarang kes positif baharu.

Jumlah keseluruhan kes positif di keempat-empat depot berkenaan adalah sebanyak 466 manakala 1,175 lagi masih menunggu keputusan ujian saringan Covid-19.