Papa di kubur, dah meninggal...

Aleesya Zaliza melihat wajah ibunya yang sugul ketika wanita itu menunjukkan gambar kenangan bersama arwah suaminya.
Aleesya Zaliza melihat wajah ibunya yang sugul ketika wanita itu menunjukkan gambar kenangan bersama arwah suaminya.
A
A
A

BUKIT ANTARABANGSA - Papa di kubur dah meninggal (dunia), kata Aleesya Zaliza Mohamed Zaili, 6, iaitu anak penghantar makanan yang maut dilanggar pemandu mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala pusat bandar kelmarin.

Riak wajah anak tunggal hasil perkongsian Mohamed Zaili Mohamed, 44, dengan isteri, Zahlawati Dahlan, 47, itu dilihat tenang sewaktu menemani ibunya ketika ditemu bual pemberita di rumahnya di Bukit Antarabangsa di sini hari ini.

Aleesya hanya diam sambil mewarna lukisannya. Sesekali dia menatap raut wajah ibunya yang menyeka air mata, tidak dapat menahan sebak sewaktu menjawab beberapa pertanyaan media.

Zahlawati berkata, anaknya itu luarannya nampak tenang, tetapi hakikatnya masih belum mengerti kejadian yang berlaku dan tercari-cari kelibat ayahnya.

"Apabila malam dia menangis mencari ayahnya, dia tak boleh tidur di bilik jadi saya suruh dia tidur bersama neneknya di luar (ruang tamu).

"Mungkin masih terkejut kerana kali terakhir jumpa papanya pada malam kejadian (Isnin) tapi sampai sekarang tidak pulang-pulang," katanya selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun di sini hari ini.

Aleesya Zaliza (tengah) melihat ibunya sewaktu ditemu bual pemberita di rumahnya di Bukit Antarabangsa hari ini.
Aleesya Zaliza (tengah) melihat ibunya sewaktu ditemu bual pemberita di rumahnya di Bukit Antarabangsa hari ini.

Zahlawati yang mengusahakan jualan makanan secara dalam talian berkata, dia masih terkejut kerana dalam sekelip mata kehilangan suami yang menjadi tempatnya bergantung hidup.

Artikel Berkaitan:

"Kejadian hanya berlaku dalam empat jam. Baru saja saya dan suami beraya di rumah kakak ipar di Wangsa Maju sebelum dia ke Pantai Dalam untuk hantar makanan di rumah kawannya.

"Puas saya hubunginya malam itu kerana dah lewat dia masih tak pulang lagi. Sampailah panggilan saya dijawab orang awam maklumkan suami kemalangan, tetapi tidak memaklumkan yang suami telah meninggal dunia.

"Saya terkilan kerana kek pisang yang dibuat kakak ipar tak sempat dijamah suami sedangkan dia yang meminta supaya kek itu dibungkus untuk dimakan di rumah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penghantar makanan maut dirempuh pemandu mabuk

'Arwah berkeras mahu sedekah lemang malam tadi'

Katanya, sehingga kini belum ada wakil keluarga tertuduh tampil atau menghubunginya untuk bertanya khabar mahupun meminta maaf.

"Saya faham mungkin dia tak sengaja langgar sebab tengah mabuk, tapi hati saya tetap geram dan berharap dia dikenakan hukuman berat termasuk penjara, sebat dan lesen pemandunya ditarik.

Zahlawati Dahlan
Zahlawati Dahlan

"Kemalangan melibatkan pemandu mabuk bukan pertama kali berlaku. Justeru, tindakan tegas wajar diambil kepada pelaku kerana kecuaiannya telah menyebabkan kami hilang orang tersayang," katanya.

Terdahulu, motosikal dinaiki mangsa dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina dipandu lelaki berusia 21 tahun dipercayai di bawah pengaruh alkohol ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Pelanggaran itu menyebabkan mangsa terbabas dibahu jalan sementara motosikalnya diseret kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Pemandu MPV itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang penghantar makanan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur Isnin lalu.

Mengikut pertuduhan, suspek didakwa memandu Nissan Grand Livina pada jam 1.30 pagi di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Tun Razak dalam pengaruh alkohol iaitu 161 miligram/100 mililiter yang melebihi kandungan alkohol dibenarkan 80/100 mililiter.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000, penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun serta lesen memandu dibatalkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu mabuk mengaku tidak salah langgar penghantar makanan