Negeri Sembilan benarkan solat Jumaat di lapan masjid

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Negeri Sembilan membenarkan solat Jumaat diadakan di lapan masjid di negeri ini bermula Jumaat ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, solat Jumaat di lapan masjid itu akan diadakan sebagai percubaan sebelum kebenaran diperluaskan dengan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, lapan masjid terpilih itu hanya menerima jemaah yang mempunyai kod QR yang diperoleh dan dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

"Hanya jemaah yang mempunyai kod QR dimohon melalui laman web Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dibenarkan masuk ke dalam masjid.

"Jemaah yang mendapat kebenaran akan diminta menunjukkan kod QR itu sama ada menerusi telefon bimbit atau salinan kepada pegawai masjid yang bertugas sebelum dibenarkan masuk ke dalam masjid," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Aminuddin berkata, setiap jemaah perlu membawa sejadah sendiri, mengambil wuduk di rumah dan dinasihatkan supaya datang awal kerana pintu masjid akan ditutup sebaik muazzin melaungkan azan pertama.

"Pegawai masjid akan menentukan kedudukan setiap jemaah dengan penjarakan satu meter.

Artikel Berkaitan:

"Mereka perlu mematuhi arahan itu semasa berada di masjid," katanya.

Beliau berkata, lapan masjid terpilih itu membabitkan empat masjid di Seremban manakala masing-masing satu masjid di Jelebu, Port Dickson, Jempol dan Tampin.

"Jumlah jemaah berdasarkan kepada keluasan masjid tersebut. Tidak semua kariah di kawasan itu boleh hadir, hanya mereka yang dapat kod QR dibenarkan masuk," katanya.

Katanya, jemaah yang berusia 60 tahun ke atas serta mempunyai penyakit kronik tidak digalakkan untuk membuat permohonan menunaikan solat Jumaat.

"Hanya mereka yang berusia 20 hingga 60 tahun serta sihat tubuh badan dibenarkan untuk membuat permohonan dan melakukan solat Jumaat.

"Percubaan ini akan diteruskan sekiranya ia dilihat berjaya dengan mematuhi SOP yang ditetapkan, namun jika sebaliknya kita akan hentikan," katanya.