Pasar Bisik tetap ditutup tujuh hari!

Pasar Bisik menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan ikan segar dan murah.
Pasar Bisik menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan ikan segar dan murah.
A
A
A

KEPALA BATAS - [DIKEMAS KINI] Tiada kompromi atau sebarang pertimbangan akan diberikan untuk membuka Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga di sini lebih awal selepas dikenakan notis perintah tutup tujuh hari sejak Isnin lalu.

Menurut sumber, walaupun kerajaan negeri melalui Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin telah membawa perkara itu dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) agar pasar terbabit dibenarkan beroperasi semula, namun ia tidak dibenarkan.

"Jabatan Kesihatan Negeri tidak bersetuju dengan permohonan itu kerana pemantauan yang dilakukan mereka sebelum ini mendapati tiada langsung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dibuat oleh nelayan, peraih mahupun pengunjung.

"Malah sebanyak 24 kali amaran telah diberikan sebelum ini oleh jabatan berkenaan sebelum tindakan penutupan dilakukan Isnin lalu dan polis juga pernah mengeluarkan kompaun kepada 21 lelaki yang terdiri daripada peraih dan penjual ikan kerana gagal mematuhi SOP," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah tak boleh berbisik di Pasar Bisik Kuala Muda!

Pada Isnin lalu, Pasar Bisik yang menjadi tempat pendaratan dan penjualan ikan segar diarahkan tutup selama tujuh hari kerana didapati tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

Tindakan itu dikatakan menyebabkan lebih 300 nelayan terjejas dan hilang punca pendapatan sebelum mereka memohon perhatian kerajaan negeri.

ARTIKEL BERKAITAN: Pulau Pinang mohon pertimbangan buka semula Pasar Bisik

Artikel Berkaitan:

Semalam, Sinar Harian melaporkan kerajaan negeri akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya menarik balik tindakan penutupan yang dikenakan.

Penandaan untuk penjarakan sosial di Pasar Bisik.
Penandaan untuk penjarakan sosial di Pasar Bisik.

Dr Norlela sebelum ini dihubungi berkata, perkara itu dibawa dalam mesyuarat MKN bagi memohon pertimbangan agar Pasar Bisik dapat dibuka semula dan nelayan di kawasan itu berjanji akan mematuhi semua peraturan ditetapkan selepas ini.

Sementara itu, sumber berkata, tidak adil sekiranya KKM menarik balik atau memendekkan tempoh penutupan pasar bisik hanya kerana rayuan dibuat kerajaan negeri sedangkan banyak premis lain yang dikenakan tindakan sama sebelum ini.

Katanya, walaupun kes jangkitan Covid-19 yang dilaporkan semakin berkurangan tambahan Pulau Pinang sendiri telah berjaya mengekalkan kedudukan dalam zon hijau dalam tempoh 25 hari, namun itu bukan alasan untuk memberi sebarang keistimewaan kepada mana-mana pihak.

"Pematuhan SOP bukan perkara yang patut dipandang ringan dan tindakan penguatkuasaan yang diambil bukan tujuan untuk menyusahkan sesiapa sebaliknya ia peringatan agar semua berjaga-jaga sekali gus memutuskan rangkaian wabak ini.

"Semua orang terjejas dengan wabak ini namun untuk pastikan negara kembali pulih serta bebas daripada Covid-19, kita perlu patuh segala arahan dan mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Mengikut notis penutupan yang ditampal di Pasar Bisik Isnin lalu, pasar itu akan dibenarkan beroperasi semula pada 8 Jun depan dan pihak pengurusan perlu melakukan sanitasi serta penandaan garisan penjarakan sosial selain kaunter pemeriksaan suhu pengunjung serta menyediakan cecair pembasmi kuman.