Kedah ikut Persekutuan berhubung hukuman pemandu mabuk

Muhammad Sanusi pada sidang media di Wisma Darul Aman.
Muhammad Sanusi pada sidang media di Wisma Darul Aman.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah bersedia mengikut ketetapan yang diputuskan Kerajaan Persekutuan berhubung hukuman ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya menyokong sebarang keputusan untuk kepentingan awam.

Menurutnya, cadangan bagi meningkatkan hukuman pesalah selain bayaran pampasan kepada keluarga mangsa juga munasabah untuk dipertimbangkan.

“Kita serah isu ini diputuskan di peringkat Persekutuan kerana di bawah bidang kuasa mereka. Kedah menyokong ketetapan Pusat demi menjaga nyawa orang ramai berbanding segelintir yang lain,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, Islam jelas mengharamkan umatnya minum arak namun tidak menghalang amalan golongan bukan Islam.

“Isu ini seolah-olah mahu menampakkan Pas tidak bersikap adil pada bukan Muslim. Untuk orang Islam, perkara ini jelas dan tidak boleh dipertikaikan,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan kes kemalangan maut yang berpunca daripada pemandu mabuk banyak dikesan di ibu negara berbanding di negeri.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu disabitkan kesalahan memandu bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin berkata, arahan itu sebagai maklum balas kepada keresahan rakyat berhubung kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk, di mana statistik polis menunjukkan 21 kes dengan lapan kematian dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Mengulas mengenai langkah Wilayah Persekutuan membekukan permohonan baharu lesen minuman keras serta merta, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya belum menetapkan pendirian dan perkara itu akan diperhalusi.

“Lesen penjualan arak bawah Kementerian Kewangan. Jika Kementerian Kewangan tidak meluluskan lesen baharu, tidak ada keperluan kepada kerajaan negeri mengeluarkan lesen premis.

Contohnya di Kelantan, premis di sana juga ada jual arak tetapi dihadkan kepada bukan Islam sahaja," katanya.