Covid-19: 93 kes baharu melibatkan penularan tempatan

Dr Noor Hisham bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
Dr Noor Hisham bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 93 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes tersebut adalah melibatkan penularan tempatan.

"Daripada jumlah itu 91 kes melibatkan warga asing yang mana 55 kes adalah dari Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan 36 kes dari Kluster Pedas," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Bagaimanapun menurutnya, hanya dua kes positif Covid-19 membabit rakyat tempatan.

"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 7,970 kes dan hanya 1,324 kes yang masih dirawat di hospital," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak enam kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Daripada jumlah tersebut, dua kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 61 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 6,531 kes bersamaan 81.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Menurutnya, kes kematian berkaitan Covid-19 kekal 115 kes apabila tiada kes baharu dilaporkan sejak 12 hari lalu.