Econsave sumbang RM100,000 kepada Tabung CovidSinar

Baharom (kanan) menerima sumbangan sebanyak RM100,000 daripada Mas Imran (dua dari kiri) untuk Tabung CovidSinar di Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam hari ini.
Baharom (kanan) menerima sumbangan sebanyak RM100,000 daripada Mas Imran (dua dari kiri) untuk Tabung CovidSinar di Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM – Prihatin dengan pengorbanan petugas barisan hadapan yang mempertaruhkan nyawa bagi memutuskan rantaian penularan koronavirus (Covid-19) di negara ini, Pasar raya Econsave Cash & Carry Sdn Bhd (Econsave) tampil menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 Sinar Harian (CovidSinar).

Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam berkata, pemberian bantuan itu sekali gus sebagai tanda sokongan terhadap kempen #RakyatBantuRakyat dan #SinarUntukFrontlinersCovid di bawah tabung tersebut.

“Kita terpanggil bekerjasama dengan Sinar Harian untuk mengumpul dana bagi tabung ini kerana kegigihan frontliners kita yang berkorban siang dan malam demi menyelamatkan nyawa rakyat dan untuk mudahkan pelanggan kita menderma kepada tabung ini.

“Jumlah RM100,000 yang diserahkan ini kita berjaya kutip dalam masa sebulan sepanjang April lalu. Tabung kutipan kita letakkan di kesemua 80 cawangan pasar raya kita seluruh negara,” katanya selepas menyerahkan replika cek sumbangan itu kepada Ketua Pengarang Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin dalam majlis ringkas di Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mas Imran berkata, menerusi kutipan yang dilakukan, kesemua 7,000 kakitangan pasar raya itu turut digalakkan menyumbang selain pihak pengurusan pasar raya juga menjadi penyumbang terbesar untuk menggenapkan kutipan tabung itu ke angka RM100,000.

“Ini kali keempat kami bekerjasama dengan Sinar Harian dari segi pengumpulan dana sejak empat tahun lalu.

“Sebelum ini kita pernah kutipan tabung untuk Palestin, Lombok dan Rohingya. Untuk Rohingya sahaja kita berjaya kumpulkan sebanyak RM250,000. Jadi penyerahan bantuan hari ini adalah sambungan kepada kerjasama yang pernah dibuat sebelum ini,” katanya.

Sinar Harian mengaktifkan Tabung CovidSinar pada 21 Mac lalu bagi membolehkan rakyat di negara ini tampil bersama membantu barisan hadapan mengumpul dana kelengkapan perlindungan diri dan makanan.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini kira-kira RM600,000 sumbangan diperoleh dan ia telah diserahkan kepada petugas barisan hadapan menerusi pembelian barangan keperluan mereka.

Dalam pada itu, Mas Imran berkata, Econsave turut menyokong kempen pesanan rakyat yang digerakkan Sinar Harian, Hukum Pemandu Mabuk #memandumabukmembunuh.

Malahan katanya, Econsave juga akan menyalurkan bantuan berbentuk baucar sebanyak RM1,000 kepada isteri dan anak-anak penghantar makanan, Mohamed Zaili Mohamed, 44, yang maut dilanggar pemandu mabuk dalam kejadian di Kuala Lumpur kelmarin (Isnin).

“Difahamkan isteri mangsa buat kuih untuk dijual, jadi sumbangan yang akan kita berikan dapat dijadikan modal kepada isteri mangsa untuk beli barang-barang niaga. Ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga mangsa yang kehilangan tonggak keluarga,” katanya.