Enam lelaki ditahan berjudi di ladang kelapa sawit

Kesemua suspek direman tiga hari untuk siasatan lanjut.
Kesemua suspek direman tiga hari untuk siasatan lanjut.
A
A
A

REMBAU - Enam lelaki ditahan berjudi di ladang kelapa sawit, Ladang Bukit Bertam Pedas dalam OP Dadu semalam.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, serbuan pada jam 3.15 petang itu dilakukan hasil risikan oleh sepasukan polis dari cawangan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau.

"Kesemua suspek rakyat tempatan berumur antara 26 hingga 55 tahun telah ditahan ketika sedang berjudi.

"Polis turut merampas peralatan yang digunakan dalam aktiviti perjudian serta wang tunai sebanyak RM20,030. Ini kali kedua polis melakukan serbuan di lokasi dalam tempoh dua tahun," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kesemua suspek bukan sahaja disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 tetapi juga Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit 2020 kerana didapati telah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, bagi kesalahan berjudi, suspek boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali manakala kesalahan melanggar PKPB memperuntukkan hukuman denda tidak melebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

"Semua suspek kini direman tiga hari bermula hari ini sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan: