Padah curi hasil laut Malaysia

Sebahagian daripada nelayan warga asing yang di bawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu untuk didakwa diperiksa suhu badan sebelum dibenarkan masuk ke dalam bangunan kompleks oleh pengawal keselamatan bertugas.
Sebahagian daripada nelayan warga asing yang di bawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu untuk didakwa diperiksa suhu badan sebelum dibenarkan masuk ke dalam bangunan kompleks oleh pengawal keselamatan bertugas.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Padah menceroboh perairan Malaysia untuk 'mencuri' hasil laut, seorang tekong warga Vietnam didenda RM300,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Pham Ven Minh, 30, yang berjaya ditahan selepas dua jam dikejar Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Nooriah Othman membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) yang dihukum mengikut Seksyen 25(a) dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Mahkamah turut memerintahkan kapal, peralatan komunikasi, navigasi berserta peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan laut dilucut hak kepada kerajaan Malaysia melalui APMM.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa gagal memberitahu seorang pegawai berkuasa melalui radio, teleks atau faksimili dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu mengenai nama, negara, lokasi jalan dan destinasi kapal berkenaan, jenis dan amaun ikan yang dibawa selain keadaan vesel itu yang memasuki perairan Malaysia.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jarak 109.5 batu nautika dari Kuala Terengganu di sini pada jam 11.12 pagi 18 Mac lalu.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, tertuduh bersama lima awak-awaknya berusia antara 22 hingga 60 tahun dipenjara tujuh bulan kerana menghalang tugas penjawat awam apabila cuba melarikan diri mengelak daripada ditahan.

Majistret Nordiana Abd Aziz membuat keputusan itu selepas kesemua tertuduh mengaku salah dengan sengaja menghalang seorang Pegawai Maritim menjalankan tugas pemeriksaan kerana enggan memberhentikan vesel untuk diperiksa meskipun diberi notis atau amaran melalui pembesar suara.

Artikel Berkaitan:

Mereka melarikan diri selama dua jam dengan membelok ke kiri dan kanan bagi mengelakkan penahanan oleh KM Marlin yang merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ibu Pejabat Wilayah Maritim Timur APMM, Mohamad Afiq Taqiudin Roslan manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.