Mangsa keracunan puding buih meninggal dunia

Alias (tengah) ketika bertemu keluarga mangsa di Unit Forensik HSNZ hari ini.
Alias (tengah) ketika bertemu keluarga mangsa di Unit Forensik HSNZ hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mangsa keracunan makanan akibat memakan puding buih yang dibeli secara dalam talian pada 22 Mei lalu meninggal dunia jam 10.40 pagi tadi.

Mangsa wanita berusia 25 tahun dari Marang meninggal dunia selepas menerima rawatan selama 10 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)

Sebelum ini mangsa dimasukkan di wad HSNZ pada 24 Mei lalu sebelum dipindahkan di ICU dan disahkan meninggal dunia disebabkan kegagalan multiorgan akibat kejutan sepsis.

Difahamkan mangsa bersama beberapa ahli keluarganya turut dirawat di HSNZ kerana mengalami keracunan makanan selepas menikmati puding buih itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak berkata, kematian itu merupakan kes pertama yang meninggal dunia akibat keracunan puding buih.

Menurutnya, siasatan terperinci telah dijalankan termasuk tindakan telah dikenakan ke atas peniaga terbabit.

"Kerajaan negeri bersimpati dengan tragedi yang menimpa keluarga mangsa dan kita berharap agar mereka tabah dan sabar.

"Kita ingatkan kepada orang ramai terutama peniaga dan pengendali makanan agar lebih berhati-hati kerana ia melibatkan keselamatan dan boleh mengancam nyawa.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan juga telah merangka prosedur operasi standard (SOP) baharu kepada peniaga yang menjual makanan dari rumah supaya lebih menitikberatkan aspek kebersihan kerana ia membabitkan nyawa.

"Walaupun ia merupakan kes yang berisiko kepada sesiapa sahaja ia juga boleh mengakibatkan kehilangan nyawa," katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, mangsa lain yang juga dirawat akibat keracunan puding buih telah beransur pulih dan dibenarkan pulang ke rumah secara berperingkat.

Terdahulu, seramai 99 mangsa dikejarkan ke HSNZ apabila mengalami muntah dan cirit-birit selepas menikmati puding buih yang dibeli secara dalam talian.

Jumlah itu membabitkan 20 keluarga berlainan, 77 pesakit dari Kuala Terengganu manakala 22 lagi dari daerah Marang.