X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 23 Januari 2022

Kawal penjualan arak seluruh negara

Wan Rohimi Wan Daud
A
A

SHAH ALAM - Penambahbaikan undang-undang berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol perlu dilakukan secara holistik bermula daripada penguatkuasaan penjualan arak sehingga hukuman di mahkamah.

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Pas, Wan Rohimi Wan Daud berkata, ini kerana kemalangan maut yang berlaku itu turut mempunyai kaitan dengan beberapa aspek seperti kelulusan premis jualan, waktu operasi dan kaedah penjualan arak.

Sehubungan itu katanya, penambahbaikan itu tidak hanya menumpukan aspek hukuman semata-mata, sebaliknya perlu dilihat secara menyeluruh bagi mengenal pasti puncanya.

"Pada saya, apa yang berlaku sekarang ini perlu dilihat secara holistik bukan saja undang-undang tetapi kita nak mengenal pasti atau pun memperbaiki dari mana puncanya.

"Undang-undang bersifat menghukum sedangkan kerosakan telah pun berlaku. Jadi akar juga kena diubat dan kesalahan juga kena hukum," katanya selaku panelis sempena Wacana Sinar Harian Siri 171 bertajuk Isu Pemandu Mabuk: Sampai Bila 'Pembunuh' Terlepas? di Karangkraf Seksyen 15 di sini malam tadi.

Wacana dikendalikan moderator, Amin Idris itu turut menampilkan Pensyarah Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Kulanthayan KC Mani sebagai panelis dan juga pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Amin.

Mengulas lanjut, Wan Rohimi berkata, had kandungan alkohol yang dibenarkan untuk memandu di negara ini adalah sangat tinggi berbanding negara lain.

Menurutnya, Seksyen 45G memperuntukkan had sebanyak 35 mikrogram alkohol dalam 100 milimeter nafas dan 80 miligram alkohol dalam 100 milimeter darah atau 107 miligram alkohol dalam 100 milimeter air kencing.

"Ini kadar yang tinggi. Mungkin kita boleh lihat lagi akta untuk mengurangkan kadar minima selain meningkatkan hukuman," katanya.

Wan Rohimi berkata, operasi pusat hiburan dan penjualan arak juga perlu dipendekkan sebelum jam 10 malam bagi mengelak insiden berulang membabitkan pemandu mabuk dan turut berpendapat minuman keras perlu diimport bagi mengawal penjualan arak di negara ini.

"Saya tengok di peringkat Persekutuan dan banyak negeri yang lain seolah-olah tidak ada kawalan bahkan pusat hiburan beroperasi melebihi masa sehingga jam 4 pagi," katanya.

Ketika mengulas mengenai kawalan penjualan arak di Kelantan yang dilaksanakan Pas, beliau berkata, secara asas apa dilakukan di negeri itu tidak menafikan hak masyarakat bukan Islam dengan kawalan melalui kerangka undang-undang di peringkat pihak berkuasa negeri dengan kerajaan tempatan berkaitan lesen, premis, waktu membeli dan di mana tempat yang dibenarkan untuk minum.

Katanya, orang ramai juga boleh menjadi ejen dan mata kepada kerajaan bagi menyalurkan maklumat berhubung kesalahan menjual arak tanpa permit atau salah guna lesen.

Mengulas mengenai hukuman bunuh kepada pemandu mabuk sehingga menyebabkan kematian, beliau berpandangan bahawa kes melibatkan kemalangan jalan raya yang tidak boleh disamakan dengan jenayah bunuh.

"Ini pendapat peribadi saya. Bunuh, satu jenayah yang sangat serius. Setiap langkah yang membawa kepada perlakuan bunuh itu mesti ada motif yang konsisten," katanya.

Beliau berkata, sekiranya dalam situasi seseorang memandu di bawah pengaruh alkohol dan pada masa sama ada unsur jenayah bunuh yang dapat dibuktikan, maka pelaku boleh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Selain itu katanya, terdapat satu peruntukan ataupun undang-undang yang membolehkan mangsa atau keluarga menuntut ganti rugi disebabkan oleh apa-apa kecuaian memandu termasuk pemandu mabuk.

"Carilah peguam yang sesuai untuk memfailkan tuntutan sivil, boleh tuntut 'dependency claim' iaitu gaji ketua keluarga (maut) yang sepatutnya boleh diperoleh sehingga umurnya 55 tahun.

"Tuntutan 'kesedihan' yang memperuntukkan sehingga RM30,000 dan perbelanjaan pengebumian. Kalau mangsa yang cedera, boleh tuntut pampasan kesakitan," katanya.

Sementara itu, katanya, sebarang dakwaan berhubung kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk ketika ini memberi isyarat kepada masyarakat bahawa kerajaan serius dalam menangani isu terbabit.

"Di pihak kerajaan telah memberikan komitmen untuk meminda akta bagi meningkatkan hukuman denda dan penjara selain mungkin sebat.

"Penguatkuasaan dan pendakwaan juga semakin serius. Di peringkat orang ramai, sama-samalah kita agresifkan kempen," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!