Rokok seludup punca perokok dalam kalangan remaja meningkat

Gambar hiasan. Gambar kecil:Fazli Nordin
Gambar hiasan. Gambar kecil:Fazli Nordin
A
A
A

KUALA LUMPUR – Peningkatan bilangan golongan remaja merokok di Malaysia dipercayai berpunca daripada rokok seludup begitu mudah diperoleh dan boleh dibeli pada harga jauh lebih murah yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pengarah Urusan Advokasi Jenama Runcit dan Dagangan Malaysia (RTBA Malaysia), Datuk Fazli Nordin berkata, berdasarkan kaji selidik oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini juga mendapati kanak-kanak semuda usia lima hingga tujuh tahun sudah terdedah kepada rokok apabila diminta oleh bapa mereka untuk membelinya.

Beliau berkata, tindakan itu mendorong kanak-kanak semuda usia lapan tahun mencuba-cuba merokok.

"Kaji selidik CAP mengenai peningkatan perokok dalam kalangan remaja adalah amat tepat dan RTBA Malaysia percaya bahawa faktor penyumbang utama terhadap masalah ini ialah kewujudan rokok seludup yang murah dan boleh didapati di mana sahaja di Malaysia,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Fazli, satu kaji selidik pada 2016 iaitu Kaji Selidik Rokok dan E-Rokok dalam kalangan Remaja Malaysia (TECMA) yang dilakukan oleh Institut Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia terhadap responden berusia 19 tahun ke bawah mendapati 71.6 peratus responden yang merokok membeli sekotak rokok mereka yang berharga kurang daripada RM9 sekotak.

“Hanya rokok seludup dijual pada harga kurang daripada RM9 sekotak di Malaysia, kebanyakannya serendah RM3 hingga RM4 sekotak. Ini memberikan akses amat mudah kepada remaja dari aspek kemampuan,’’ tambah beliau.

Peningkatan bilangan golongan remaja merokok di Malaysia dipercayai berpunca daripada rokok seludup begitu mudah diperoleh dan boleh dibeli pada harga jauh lebih murah. Gambar hiasan.
Peningkatan bilangan golongan remaja merokok di Malaysia dipercayai berpunca daripada rokok seludup begitu mudah diperoleh dan boleh dibeli pada harga jauh lebih murah. Gambar hiasan.

Fazli berkata, kerajaan perlu bertindak tegas kerana rokok seludup mudah dibeli di seluruh negara terutama di kawasan pedalaman.

Artikel Berkaitan:

Memetik laporan RTBA bertajuk Rokok Haram di Rantau Asia Pasifik: Punca-punca dan Penyelesaian yang diterbitkan pada April lalu, beliau berkata, Malaysia 'menerajui’ trend global di dalam kadar perokok remaja disebabkan akses mudah kepada rokok haram.

Beliau berkata, bilangan besar rokok kontraban terutamanya dalam bentuk rokok batang yang dikilangkan pada harga rendah di negara-negara sekeliling dan dijual di dalam negara ini disebabkan kawalan sempadan negara tidak cukup ketat.

“Kewujudan di mana-mana rokok seludup murah dan dalam bilangan sangat banyak adalah suatu ancaman kepada golongan muda rakyat Malaysia serta sosio-ekonomi negara dan agenda kesihatan.

“Seiring dengan tema Hari Tanpa Tembakau 2020 adalah mengenai usaha melindungi golongan remaja, penggubal undang-undang Malaysia perlu melakukan lebih lagi dari segi dasar-dasar awam, keselamatan sempadan dan reformasi ke atas cukai eksais bagi membanteras sama sekali kebanjiran rokok seludup ini,’’ gesa beliau.

RTBA Malaysia adalah sebahagian daripada pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa yang bermatlamat melindungi rantaian pembekalan dan jenama daripada perlakuan jenayah.

Ditubuhkan pada 2020, RTBA Malaysia adalah satu daripada divisyen di dalam RTBA yang beribu pejabat di Victoria, Australia.

Ia merupakan gabungan perniagaan, peruncit dan pemegang tanda dagang yang bekerja ke arah melindungi industri runcit dan pembekalan di rantau Asia Pasifik daripada impak perlakuan jenayah.

Fokus RTBA adalah untuk menyatukan, menggerakkan dan menjalankan advokasi bagi perubahan yang berkesan di dalam isu-isu perundangan, kewangan dan percukaian yang menjejaskan rantaian pembekalan.

Hari ini, RTBA berterusan memainkan peranan aktif di dalam usaha meningkatkan keselamatan produk dan menambah hukuman denda terhadap penjenayah yang terbabit di dalam operasi pasaran gelap; membanteras aktiviti haram termasuk pemalsuan, cetak rompak dan perdagangan haram barangan pengguna; melindungi jenama dan hak IP pembekal, pengilang, pemilik tanda dagang dan pengguna serta menyediakan rumusan perundangan dan percukaian positif untuk semua pihak di dalam rantaian pembekalan dan perdagangan runcit.

Maklumat lanjut di www.rtbamalaysia.com