Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

No Image Caption
A
A
A

RINGGIT tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam sesi awal hari ini berikutan permintaan yang lebih baik terhadap mata wang Asia sedang pesat membangun, termasuk ringgit, berikutan mata wang AS itu merosot dengan pelabur optimis mengenai pemulihan ekonomi global.

Pada 9.16 pagi ini, ringgit berada pada 4.2500/2560 berbanding dolar AS daripada 4.2750/2800 semasa ditutup semalam.

Peniaga berkata, peserta pasaran menjangka kelembapan ekonomi berikutan koronavirus (Covid-19) semakin berkurangan untuk Asia dan negara maju, dengan lebih banyak negara membuka semula ekonomi mereka yang memberi laluan kepada pemulihan dalam sentimen risiko.

“Selain itu, lonjakan harga minyak dunia turut membantu meningkatkan sentimen pasaran terhadap ringgit, dan ini positif untuk hasil minyak dan gas negara,” katanya.

Penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent naik 1.95 peratus kepada AS$40.34 setong manakala minyak mentah WTI meningkat 2.66 peratus kepada AS$37.79 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0425/0474 daripada 3.0503/0547 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.9171/9237 daripada 3.9686/9736.

Unit tempatan tinggi berbanding pound kepada 5.3529/3613 daripada 5.3715/3787 dan naik berbanding euro kepada 4.7579/7650 daripada 4.7790/7859 semasa ditutup semalam. - Bernama

Artikel Berkaitan: