X

Kindly register in order to view this article
!

Restoran tutup lapan hari ingkar PKPB

Sebuah restoran di Seksyen U13, Shah Alam dikenakan tindakan pihak berkuasa selepas melanggar SOP PKPB yang ditetapkan.
A
A

SHAH ALAM - Sebuah restoran di Seksyen U13 di sini diarahkan tutup selama lapan hari kerana dikesan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam.

Kesalahan itu dikesan menerusi Op Bersepadu bermula jam 11 pagi yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Jabatan Kesihatan Persekitaran serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata, ketika operasi dijalankan pekerja premis terbabit telah bertindak menghalang pihak MBSA dan polis untuk membuat pemeriksaan.

Menurutnya, namun selepas diperiksa, premis itu dikesan gagal mematuhi SOP PKPB iaitu tiada menggunakan alat pengesan suhu, tiada penjarakan sosial antara meja serta pekerja tidak memakai topi dan apron.

"Kes diambil di bawah Seksyen18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Susulan itu, premis terbabit telah diarah tutup selama lapan hari untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mohd Rashidi berkata, pihaknya amat kesal dengan sikap segelintir pemilik premis yang bertindak menghalang penjawat awam melaksanakan tugas.

Katanya, Op Bersepadu ini adalah bertujuan bagi memantau dan memeriksa kedai makan dan restoran yang gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Diingatkan kepada pemilik premis makanan agar sentiasa mematuhi peraturan termasuklah melaksanakan penjarakan sosial, menjarakkan kerusi dan meja, mendaftar aplikasi SELangkah, mengambil bacaan suhu badan pelanggan serta tidak meletakkan kerusi dan meja di kawasan kaki lima.

"Justeru semua warga Shah Alam khususnya dinasihatkan untuk mematuhi PKPB dan memberi kerjasama untuk memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19)," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus