Duit lebih setengah juta dalam akaun lesap

No Image Caption
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang pesara mengalami kerugian lebih setengah juta membabitkan nilai berjumlah RM682,000 akibat terperdaya dengan sindiket Macau Scam yang mengaitkannya dengan aktiviti perjudian dalam talian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian Mac lalu, wanita berusia 69 tahun itu dikatakan menerima panggilan kononnya daripada pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang sebelum panggilan kemudiannya disambungkan kepada pegawai penyiasat kes berpangkat sarjan untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, anggota polis itu memaklumkan butiran bahawa mangsa kini dalam siasatan dan meminta wanita itu berurusan dengan pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) yang akan menghubungi mangsa nanti.

"Tidak lama kemudian, mangsa menerima panggilan kononnya dari BNM dan memintanya pindahkan kesemua wang simpanan yang ada ke satu akaun sahaja bagi memudahkan urusan siasatan.

“Pegawai BNM tersebut memberitahu mangsa yang mana kes tersebut perlu diselesaikan segera dan mengugut sekiranya tidak berbuat demikian, mangsa akan ditangkap dan direman," katanya ketika dihubungi di sini.

Noorzainy berkata, sindiket berkenaan turut memaklumkan bahawa mangsa akan menerima panggilan setiap hari untuk memantau perkembangan kes dan dia diarahkan memberikan semua maklumat diterima termasuk kod pengesahan transaksi (TAC) yang dihantar ke telefonnya.

Katanya, keadaan itu berlarutan sehingga 27 Mei lalu, namun mangsa berasa pelik selepas tidak menerima panggilan daripada pegawai BNM seperti kebiasaan antara 28 Mei sehingga semalam.

"Curiga dengan keadaan itu, mangsa seterusnya menghubungi pihak bank untuk bertanyakan baki amaun wang dalam akaunnya dan dimaklumkan telah dikeluarkan setiap hari sedikit demi sedikit.

Artikel Berkaitan:

"Terkejut dengan apa yang berlaku, wanita berkenaan tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Mengulas lanjut, Noorzainy meminta orang ramai berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan penipuan sindiket.

Beliau turut mengingatkan mana-mana individu yang menerima panggilan sedemikian tidak mudah panik atau mengikut arahan diberikan pemanggil tidak dikenali, sebaliknya menghubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan.