Wujud tabung khas bantu mangsa pemandu mabuk

Gambar kecil: Ma'amor Osman
Gambar kecil: Ma'amor Osman
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersedia untuk mewujudkan satu tabung khas bagi mengumpul dana untuk membantu keluarga kepada mangsa yang maut akibat kecuaian pemandu mabuk.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Ma'amor Osman berkata, bagaimanapun perbincangan mengenai hal itu perlu dilakukan terlebih dahulu menerusi mesyuarat PPIM sebelum ia boleh dilaksanakan.

"Saya lihat kes berkaitan pemandu mabuk semakin menjadi-jadi dan memang ada keperluan untuk kita beri bantuan segera kepada mangsa termasuk keluarga yang terjejas.

"Oleh itu, saya akan bawa perkara ini ke dalam mesyuarat PPIM dalam masa terdekat untuk dibincangkan secara terperinci bagaimana untuk kami sebagai NGO (pertubuhan bukan kerajaan) boleh membantu termasuk untuk mewujudkan tabung khas bagi mengumpul dana tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ma'amor berkata, selain itu PPIM juga mempunyai dana sendiri yang dikumpulkan melalui dana infaq serta program Zero Hunger untuk membantu golongan memerlukan termasuk untuk kes-kes kecemasan.

"Dalam kes pemandu mabuk ini yang boleh dianggap sebgai 'urgent case', kita boleh gunakan dana ini untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat," katanya.

Selain itu, Ma'amor berkata, beliau percaya banyak NGO lain di luar sana yang turut sama prihatin dengan nasib menimpa mangsa atau keluarga mangsa yang maut akibat kecuaian pemandu mabuk ini.

"Saya percaya sudah ada yang tampil menghulurkan bantuan atau sumbangan secara senyap-senyap dan tidak mahu ia dihebahkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, seorang penghantar makanan maut selepas dilanggar seorang pekerja kedai aksesori kereta yang didakwa memandu dalam keadaan mabuk dalam kejadian di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Tun Razak di ibu negara.

Pekerja kedai aksesori kereta itu, Khor Yong Zhang, 21, juga didakwa di mahkamah semalam, namun mengaku tidak bersalah melanggar mangsa sehingga menyebabkan kematian.

Sebelum itu, seorang kakitangan Alam Flora, Irwan Herman Kamarudin, 42, turut meninggal dunia selepas kereta dipandunya dilanggar oleh seorang pemandu mabuk dalam kejadian di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Petronas Bukit Rangin pada malam 25 Mei lalu.

ARTIKEL BERKAITAN Penghantar makanan maut dirempuh pemandu mabuk