X

Kindly register in order to view this article
!

Kakitangan Facebook lancar protes maya terhadap Mark Zuckerberg

Salah seorang kakitangan Facebook menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Zuckerberg menerusi Twitter. - Foto Agensi
A
A

SACRAMENTO - Kakitangan Facebook melancarkan ‘protes secara maya’ terhadap Ketua Pegawai Eksekutif, Mark Zuckerberg atas keengganannya mengambil langkah tegas terhadap status kontroversi yang dimuat naik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump walaupun berdepan desakan berbuat untuk demikian.

Langkah itu dibuat selepas pesaingnya, Twitter pada minggu lalu menjadi laman media sosial pertama yang berani melabel tweet dimuat naik pemimpin itu berhubung undi pos boleh menyebabkan penipuan sebagai tuduhan tidak berasas malah ia dengan berani turut meletakkan label ‘semak fakta’ pada ciapan tersebut.

“Sebagai sekutu, kita harus mempunyai pendirian yang sama. Saya akan menyertai protes ini sebagai tanda solidariti dengan komuniti kulit hitam,” kata salah seorang kakitangan Facebook, Sara Zhang.

Ketika ini, hampir kesemua staf laman media sosial gergasi tersebut bekerja dari rumah akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Sewaktu diminta mengulas tentang langkah ‘protes secara maya’ itu, Facebook dalam satu kenyataan menyatakan ia memahami keperitan yang dirasai oleh masyarakat terutamanya komuniti kulit hitam.

“Kami menggalakkan semua kakitangan untuk bersuara secara terbuka jika mereka tidak bersetuju dengan kepimpinan syarikat ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Reka Bentuk News Feed, Ryan Freitas menyatakan terdapat kira-kira 50 staf yang berkongsi pendapat sama dengannya.

“Mark sememangnya salah dan saya akan berusaha sehabis baik untuk mengubah pendiriannya,” tambahnya.

Terdahulu, Zuckerberg menerusi wawancara bersama Fox News menyatakan platform media sosial peribadi tidak seharusnya menjadi penentu kebenaran tentang apa yang dikatakan individu malah Trump turut retweet kenyataan tersebut.

Jumaat lalu, Twitter sekali lagi bertindak balas terhadap tweet Trump selepas beliau menggunakan platform itu untuk memberi amaran kepada penunjuk perasaan yang membantah kematian George Floyd di tangan anggota polis.

Twitter mendakwa tweet tersebut melanggar peraturan laman blog mikro tersebut tentang menggalakkan keganasan. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus