X

Kindly register in order to view this article
!

'Tolong bayar gaji kami'

A
A

"SAYA sentiasa berdoa agar pihak pengurusan segera membayar tunggakan gaji kami." Itu luahan seorang pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) selepas majikannya masih gagal melunaskan tunggakan gaji sehingga menyebabkan ada dalam kalangan pemain dan pegawai mula mencari sumber pendapatan sampingan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Gaji tak masuk (dibayar) sememangnya amat memeritkan. Bukan hanya kepada pemain, malah pegawai juga boleh jadi gila sekiranya masalah ini masih berterusan.

“Secara peribadi, saya dapat merasai penderitaan dan tekanan dihadapi rakan-rakan yang terpaksa berdepan dengan isu tunggakan gaji. Kesan tunggakan gaji ini sangat kuat sehingga mampu menjejaskan emosi jika kami tidak bijak mengawalnya," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurut pemain terbabit, biarpun terdapat moratorium daripada pihak bank yang dapat mengurangkan beban kewangan, namun mereka masih mempunyai komitmen lain yang perlu dilunaskan.

“Itu yang kita dapat lihat terdapat pemain dan pegawai yang mula mencari sumber pendapatan sampingan bagi meneruskan kelangsungan hidup dengan komitmen terhadap isteri dan anak setiap bulan.

“Kebanyakan pemain juga mempunyai komitmen terhadap ibu bapa masing-masing. Bayangkan dalam situasi tidak mendapat sebarang bayaran gaji, mereka terpaksa mencongak semula komitmen terhadap kedua-dua orang tua masing-masing.

“Sebagai contoh, ibu bapa saya ada meminta membelikan sofa baharu. Jadi saya terpaksa mencongak semula perbelanjaan saya demi menjaga hati kedua-dua insan yang banyak berjasa dalam membesarkan saya selama ini,” jelasnya.

Mengenai pemotongan gaji seperti dicadangkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di sebalik krisis pandemik Covid-19, beliau secara peribadi menyokong saranan berkenaan yang disifatkan sebagai satu usaha positif menyelamatkan Liga-M.

“Dalam isu pemotongan gaji ini, saya percaya rakan-rakan lain juga tidak berdepan masalah untuk menerima ketetapan ini kerana ia melibatkan perbincangan semula kontrak antara pemain dengan majikan.

“Perbincangan ini juga pastinya akan bersifat menang-menang antara kedua-dua belah pihak sebelum satu persetujuan dapat dicapai secara bersama,” jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!