Capaian internet di Tanjong Karang perlu ditingkatkan

Noh memuat naik status di Facebook beliau hari ini.
Noh memuat naik status di Facebook beliau hari ini.
A
A
A

TANJONG KARANG - Kementerian Komunikasi dan Multimedia diminta memperluaskan dan meningkatkan capaian internet dan jalur lebar di Parlimen Tanjong Karang bagi memudahkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, keperluan itu amat diperlukan bagi memastikan penuntut universiti dan pelajar sekolah dapat mengikuti aktiviti pembelajaran secara dalam talian.

Malah katanya, pihaknya telah menghantar surat bagi memohon sokongan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berhubung perkara itu.

"Keperluan ini amat penting untuk memastikan golongan yang memerlukan seperti siswazah dan pelajar yang mengikuti aktiviti pembelajaran dapat mengikuti program tersebut dengan lebih lancar," katanya menerusi status dimuat naik di Facebook beliau hari ini.

Noh berkata, beliau juga bersedia membantu mendapatkan lokasi sesuai bagi keperluan membina menara pencawang telekomunikasi.

"Apa yang penting pembelajaran mereka berjalan lancar tanpa sebarang gangguan dalam tempoh PKP ini," katanya.

Menerusi surat dimuat naik itu, Noh memaklumkan beberapa kawasan di Parlimen itu mengalami masalah capaian kemudahan Internet pada tahap rendah.

Surat itu menjelaskan permohonan itu merupakan keperluan terdesak di Parlimen itu yang hanya terletak kurang 100 kilometer dari Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan: