Gesa lantik Pengerusi MPKK

Penduduk memegang sepanduk mendesak kerajaan negeri mempercepat pelantikan pengerusi MPKK.
Penduduk memegang sepanduk mendesak kerajaan negeri mempercepat pelantikan pengerusi MPKK.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kerajaan negeri digesa mempercepat lantikan pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) baharu bagi memudahkan urusan penduduk setempat.

Seorang penduduk dari Kampung Bagan Terap, Dasimin Senon, 52, berkata, ketiadaan MPKK yang sebelum ini dikenali Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terlalu lama sejak berakhirnya PRU14 lalu.

Menurutnya, penduduk merungut apabila mereka sukar mendapat pengesahan borang terutama ketika sesi persekolahan awal tahun lalu.

"Sampai bila kerajaan negeri nak selesaikan (pelantikan pengerusi MPKK) ini, sedangkan beberapa kampung lain dah ada pengerusi dan jawatankuasanya.

"Malah, kami terpaksa memohon jasa baik pengerusi MPKK berhampiran membuat pengesahan borang," katanya.

Kira-kira 30 wakil penduduk dari lima kampung di Parlimen Sabak Bernam hadir berhimpun secara aman mendesak pelantikan pengerusi MPKK itu disegerakan.

Lima wakil kampung di Parlimen itu yang hadir ialah Kampung Bagan Terap, Tok Khalifah, Parit 8 Setengah Barat, Parit 11 Barat dan Sekendi.

Dasimin berkata, kelewatan pelantikan itu mengakibatkan sistem perparitan yang sebelum ini diuruskan pengerusi JKKK tidak diselenggara dengan baik.

Artikel Berkaitan:

"Sistem perparitan kalau dah lama tak selenggara menyebabkan parit menjadi sebu dan mengalami banjir kilat," katanya.

Penduduk dari Kampung Tok Khalifah, Sahbuddin Yusuf, 53, berkata, kelewatan pelantikan itu memberi kesan kepada program berbentuk kemasyarakatan di kampung itu.

Katanya, penduduk sudah lama tidak mengikuti sebarang program kemasyarakatan, malah banyak maklumat tidak sampai secara terus kepada penduduk.

"Program melibatkan komuniti tak dapat dilaksanakan sebab tiada lantikan pengerusi MPKK.

" Saya difahamkan beberapa program pemberian sumbangan tidak sampai ke kampung ini, " katanya.

Kalsom Othman, 70, yang menetap di Kampung Parit 8 Setengah Barat berkata, kelewatan pelantikan itu menyebabkan penduduk diulit keresahan.

"Kami tak tahu nak mengadu dengan siapa lagi jika penduduk ditimpa bencana dan sebagainya.

"Kami harap kerajaan dengarlah rintihan ini. Segerakanlah pelantikan pengerusi MPKK bagi mudahkan kami mengadu nasib," katanya.

Sementara itu, Adun Sabak, Ahmad Mustain Othman berkata, beliau memahami keluhan penduduk dan akan memanjangkan perkara itu kepada kerajaan negeri.

"Saya berharap kerajaan negeri menyelesaikan segera perkara ini bagi memastikan pentadbiran kampung dapat berfungsi dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.