FIH tambah kuota kelayakan automatik Piala Dunia

No Image Caption
A
A
A

PERSEKUTUAN Hoki Antarabangsa (FIH) menambah kuota kelayakan ke Piala Dunia 2022/23 menerusi kejohanan Kontinental daripada enam ke-11 negara.

FIH dalam kenyataan hari ini menyatakan, keputusan itu dibuat Lembaga Eksekutifnya selepas merujuk kepada Persekutuan-Persektuan Kontinental dan juga Jawatankuasa Atlet FIH, berikutan penangguhan Sukan Olimpik Tokyo 2020 ke 2021, selain kejohanan kontinental yang telah dijadualkan semula akibat pandemik Covid-19 dunia.

Mengikut format baru, lima juara kontinental, tuan rumah piala dunia dan lima negara mengikut kepada ranking terakhir di Kejohanan Kontinental 2021 yang relevan, akan mendapat tiket kelayakan automatik ke Piala Dunia 2022/23.

Berdasarkan kepada peruntukan daripada Kejohanan Kontinental 2021 masing-masing, juara Afrika, dua pasukan terbaik Asia, Oceania, Pan Amerika dan negara-negara Eropah, akan menyertai tuan rumah Piala Dunia Wanita 2022, Sepanyol dan Belanda untuk beraksi di Piala Dunia.

Bagi Piala Dunia Lelaki 2023 pula, slot kelayakan automatik akan diberikan seperti berikut empat pasukan terbaik Kejohanan Eropah, juara Afrika dan Pan Amerika, dua pasukan terbaik benua Oceania, selain tiga pasukan Asia terbaik (termasuk tuan rumah Piala Dunia, India).

Sebelum ini, hanya juara masing-masing dari lima kejohanan kontinental dan juga tuan rumah Piala Dunia akan mendapat slot automatik ke Piala Dunia. - Bernama

Artikel Berkaitan: