Orang Melayu abai tanggungjawab mengundi

Abdul Hadi menandatangani plak pusat operasi Unit Amal Pas Baling.
A
A

BALING - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, politik ialah senjata penting umat Islam namun di Malaysia, masih ada orang Melayu mengabaikan tanggungjawab untuk mengundi.

Menurutnya, orang Turki yang tinggal di Australia balik mengundi untuk menangkan parti Islam.

"Tetapi kita di sini menganggap undi tidak penting. Tidak daftar, ada nama tidak mengundi.

"Ada yang kuat dengar ceramah tetapi nama tiada, yang duduk jauh tidak balik mengundi.

"PH, 66 kerusi (Parlimen) bukan Islam, 58 kerusi Islam. Besar kerusi bukan Islam daripada Islam. Ramai tidak sedar, ingat tempat dia saja. Ini bahana dan akibat kita tidak faham kewajipan berpolitik," katanya di tapak pembinaan Kompleks Pas Kupang, di sini hari ini.

Justeru katanya, masyarakat perlu melaksanakan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh kerana hanya dengan Islam manusia selamat.

Dalam pada itu, katanya, Pas mendapat undi yang banyak pada PRU14 tetapi menghadapi tipu daya pilihan raya.

Abdul Hadi berkata, Parlimen Baling mempunyai 100,000 pengundi, sedangkan di Selangor dan Johor hanya 30,000 pengundi untuk satu Parlimen.

Menurutnya, jumlah itu menunjukkan Baling boleh dipecahkan kepada tiga kawasan Parlimen.

"Di Sabah dan Sarawak, 10,000 pengundi satu Parlimen. Baling boleh buat 10 kawasan Parlimen.

"Mereka sengaja jadikan 100,000 pengundi bagi satu Parlimen di Baling," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi mahu keluarga dan masyarakat memainkan dalam menyedarkan golongan muda daripada hidup leka.

Beliau berkata, golongan muda kini tidak peka dengan kedudukan agama mereka.

Menurutnya, berdasarkan perkiraan PRU14, golongan tua bersama Umno, usia pertengahan majoritinya memilih Pas manakala orang bukan Islam 90 peratus menyokong PH.

"Orang muda-muda berusia 21 hingga 30 tahun sokong PH, yang tidak mengaji...mengaji dengan telefon, mengaji dengan internet, mengaji dengan WhatsApp.

"Tidak mengaji agama, tidak tahu kedudukan agama dia. Hidup dengan leka dan lalai.

"Tanggungjawab kita, ibu bapa, anak-anak dan keluarga mesti menyedarkan anak-anak muda ini. Jangan biar leka," katanya.

Menurutnya, himpunan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) 8 Disember ini tetap diteruskan bagi menyatakan kesyukuran kepada ALLAH.