Pulau Pinang belum buat keputusan isu lesen jual arak

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang masih belum membuat sebarang keputusan mengenai isu lesen penjualan arak di negeri itu, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata, pengeluaran lesen baharu penjualan arak wajar dibekukan.

Menurutnya, tindakan itu perlu dilakukan sehingga suatu garis panduan dan semakan perundangan dapat dilakukan.

"Dengan berlakunya kejadian pemandu mabuk dan menyebabkan kemalangan, adalah wajar pengeluaran lesen baharu menjual arak dibekukan," katanya menerusi laman Twitter.

Sementara itu Penyelaras Gerakan Anti Arak Murah, David Marshall berkata, tindakan yang dibuat oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) wajar dipuji dan perlu menjadi ikutan setiap negeri bagi mengurangkan pelbagai masalah sosial yang berlaku.

Menurutnya, walaupun usaha ini dipuji pelbagai pihak, namun tindakan DBKL tidak akan memberi sebarang impak kepada pengguna atau isu pemandu mabuk jika tiada tindakan holistik (keseluruhan) dari pihak kerajaan.

"DBKL harus batalkan semua lesen arak runcit yang benarkan menjual arak di kedai runcit.

"Terdapat ramai pemegang lesen arak tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Akta Eksais 1976 terutamanya kebanyakan kedai runcit dan rangkaian pasar raya di Kuala Lumpur," katanya.

Artikel Berkaitan:

David Marshall berkata, penjualan arak di kedai serbaneka 24 jam dan kebanyakan kedai runcit harus dihentikan.

Katanya, lesen arak sedia ada terlalu banyak dan ia perlu dikawal dengan pindaan undang-undang.

"Kerajaan perlu menekankan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengikut langkah diambil oleh DBKL yang membekukan semua lesen arak sehingga satu garis panduan diwujudkan bagi mengawal penjualan arak secara menyeluruh," katanya.