'Hari ini kita ada satu digit'- Dr Noor Hisham

Dr Noor Hisham pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Lima penularan tempatan yang hanya membabitkan dua warganegara menunjukkan jangkitan Covid-19 menurun kepada satu digit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 20 kes baharu positif Covid-19 hari ini, hanya lima sahaja penularan tempatan.

"Bererti hari ini kita sudah ada satu digit," katanya.

Menurutnya, sekiranya satu dan dua angka tersebut dapat dikekalkan serta tiada peningkatan kes mendadak pasca Aidilfitri, terdapat keperluan untuk membuka semula sektor lain.

"Apabila kerajaan membuka sektor lain yang pasti memerlukan kawalan," katanya.

Beliau berkata, keadaan semasa yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bergantung kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Contohnya kawalan sempadan juga bergantung kepada akta berkenaan dan kerajaan telah menguatkuasakan akta itu kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan polis," katanya.

Justeru, kata Dr Noor Hisham, akta itu perlu dilanjutkan supaya pelaksanaan dan pemantauan dapat dilakukan secara berterusan.

Artikel Berkaitan:

"Apabila semua sektor dibuka dan pemantau berjalan dengan baik, jangkitan berada pada satu atau dua digit, maka kita sudah bersedia dengan strategi keluar.

"Inilah yang dikatakan 'soft landing' supaya rakyat patuh kepada prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penularan Covid-19 membabitkan pekerja asing di negara ini, beliau berkata perkara itu amat membimbangkan.

"Hari ini kita bermesyuarat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan satu jawatankuasa sedia ada akan memantau pematuhan warga asing terhadap (SOP) KKM dalam memerangi wabak Covid-19," katanya.

Menurutnya, sekiranya pematuhan SOP dipenuhi oleh warga asing dan juga rakyat, wabak itu boleh ditamatkan.

"Kalau (semua) dapat patuh, nescaya kita dapat putuskan jangkitan Covid-19 di negara kita," katanya.