570 banduan warga asing di penjara Kelantan disaring

MAT YAACOB
MAT YAACOB
A
A
A

KOTA BHARU – Seramai 570 banduan warga asing di seluruh negeri Kelantan menjalani ujian saringan Covid-19 secara berperingkat sejak minggu lalu.

Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob berkata, saringan melibatkan dua kategori iaitu banduan yang akan dibebaskan dan banduan baharu.

“Mereka wajib melakukan ujian swab dan ia dilakukan secara berkala mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya kepada pemberita di Majlis Serah Terima Tugas melibatkan beliau dan Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff yang kini dilantik sebagai Pengarah Penjara Pengkalan Chepa.

Mengulas lanjut, Mat Yaacob berkata, antara banduan warga asing ialah dari Vietnam, Mynmar, Kemboja dan sebagainya.

Katanya, pihaknya menjangkakan proses saringan untuk dua kategori itu akan selesai dalam waktu terdekat mengikut jadual yang dirancang.

Di Putrajaya, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ujian saringan Covid-19 hanya dilaksanakan di penjara atau depot tahanan yang mempunyai kes positif wabak tersebut termasuk di Penjara Sungai Buloh.

Beliau berkata, ia tidak melibatkan penjara atau depot tahanan lain di seluruh negara yang tidak mempunyai kes positif Covid-19.

“Hanya buat saringan Covid-19 di kawasan terlibat seperti yang berlaku di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Semenyih dan DTI Bukit Jalil.

Artikel Berkaitan:

“Oleh yang demikian, saringan tidak perlu dibuat di DTI atau penjara di tempat lain kerana tidak mempunyai kes Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam.

Ismail Sabri berkata, penjara di Sungai Buloh mempunyai lapan blok, namun hanya blok yang terlibat sahaja yang akan disaring.

Jelas beliau, sejak semalam seramai 600 banduan menjalani saringan Covid-19 di blok yang terlibat.

Selain itu, seramai 700 kakitangan penjara yang bertugas di Penjara Sungai Buloh juga akan disaring.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai seorang warga Rohingya yang melarikan diri dari pusat kuarantin Covid-19 di Ipoh, Ismail Sabri berkata, lelaki tersebut telah ditahan dan dibawa kembali ke pusat kuarantin berkenaan.

Kelmarin, media melaporkan seorang lelaki melarikan diri dari Pusat Kuarantin Covid-19 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Tanjung Rambutan, Ipoh. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Saringan hanya di penjara, depot ada kes Covid-19