X

Kindly register in order to view this article
!

Pulau Pinang mohon pertimbangan buka semula Pasar Bisik

Pasar Bisik diarahkan tutup selama tujuh hari.
A
A

KEPALA BATAS - Kerajaan Pulau Pinang akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya menarik balik tindakan penutupan Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga di sini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin berkata, perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) bagi memohon pertimbangan semula tindakan yang dikenakan di pasar yang menjadi tumpuan ramai selama ini.

Menurutnya, walaupun tindakan penutupan itu diambil atas kepentingan umum terutamanya dalam usaha memutuskan rantaian penularan koronavirus (Covid-19), namun keluhan ramai khususnya golongan nelayan perlu juga diberi perhatian.

"Hampir 300 nelayan secara keseluruhan terjejas akibat daripada tindakan itu di mana terdapat lambakan hasil laut yang telah di bawa ke darat untuk dipasarkan kepada peraih dan pengunjung.

ARTIKEL BERKAITAN: Ingkar SOP, Pasar Bisik Kuala Muda ditutup

"Mereka sedar akan kesilapan mereka, namun berjanji akan memastikan semua garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan akan dipatuhi selepas ini termasuk tidak akan melakukan amalan berbisik ketika menjalankan jual beli ikan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Norlela berkata, pihak nelayan sendiri telah mengambil inisiatif untuk membuat garis panduan dan peraturan dengan membenarkan hanya 14 orang peraih sahaja dibenarkan masuk dalam satu masa untuk urus niaga.

Katanya, bagi tujuan penambahbaikan, hanya satu satu pintu bagi akses masuk dan keluar sahaja dibenarkan bagi urusan peraih dan pengunjung lain.

Pasar Bisik Kuala Muda kelihatan lengang hari ini.
Pasar Bisik Kuala Muda kelihatan lengang hari ini.

Selain itu, nelayan terjejas mohon pasar berkenaan dibenarkan beroperasi semula dalam masa terdekat secara bersyarat dengan pematuhan SOP yang lebih baik dengan kebenaran seramai 100 orang peraih bagi kapasiti setiap hari.

"Nelayan terjejas juga mohon KKM memberi garis panduan sewajarnya dari terus menyita premis tersebut.

"Mereka kini gelisah kerana bimbang akan hilang mata pencarian selepas pasar berkenaan ditutup selama tujuh hari selain terpaksa menanggung kerugian selepas hasil tangkapan semalam tidak habis dijual," katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Norlela berkata, pihaknya mempunyai perancangan dalam memastikan tahap pematuhan SOP dilakukan sekiranya pasar bisik itu dibenar beroperasi semula.

Katanya, pada Ramadan lalu, pihaknya berjaya memastikan pematuhan penganjuran uptown sempena Aidilfitri yang diadakan di Tapak Ekspo Seberang Jaya berjalan dengan lancar dengan pematuhan SOP yang ketat bagi menjamin keselamatan pengunjung.

Katanya, aktiviti jualan yang diadakan itu setiap hari pada waktu malam sebelum menjelang hari raya menerima kunjungan lebih 4,000 orang setiap hari.

"Strategi yang digunakan dalam memastikan pematuhan SOP semasa karnival jualan sebelum ini akan digunakan di Pasar Bisik dan saya yakin ia akan berkesan.

"Nelayan di kawasan berkenaan juga telah bersedia untuk mematuhi semua SOP dan saya berharap sistem kawalan yang lebih baik akan dilakukan selain dikawal oleh anggota Rela malah akan dibantu juga oleh petugas-petugas sokongan khas untuk mengawal keadaan di sepanjang tempoh pengoperasian," katanya.

Beliau berkata, nelayan di kawasan berkenaan juga telah bersedia untuk membuka semula premis dalam kadar segera dan sekiranya terdapat lagi pelanggaran SOP pada masa hadapan mereka bersedia dengan sebarang tindakan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!