Pemandu mabuk: Kerajaan digesa gubal undang-undang lebih tegas

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan Malaysia (ACCIN) mendesak kerajaan menggubal undang-undang lebih tegas bagi menyelesaikan isu pemandu mabuk dan keganasan rumah tangga akibat mabuk.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Mohd Jamaludin Shamsudin berkata, masalah itu perlu diketengahkan untuk dibincang, dikaji dan diambil tindakan yang berkesan.

“Dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, ACCIN melihat satu peluang untuk kerajaan mengambil tindakan tegas bukan sahaja dari segi undang-undang jalan raya, tetapi juga usaha menyekat penjualan arak yang setakat ini kurang dikawal.

“Tindakan multilateral dari semua lapisan masyarakat dan pimpinan agama perlu dibuat segera bagi menangani gejala yang serius ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bukan sahaja Islam yang menegah pengambilan alkohol dan sebarang bahan yang memabukan (intoxicant), agama-agama lain juga jelas menegahnya.

Menurutnya, kepercayaan Hindu, Buddha, Sikh, Bahai dan beberapa denominasi Kristian jelas menegah pengambilan alkohol.

Justeru, katanya, satu usaha bersama oleh pemimpin pelbagai agama perlu untuk mencari solusi bagi masalah yang berpanjangan tersebut.

“Semasa Malaysia masih di tengah suasana Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, masyarakat digemparkan dengan berita tragedi di Jalan Pintasan Kuantan di mana mangsa, Irwan Kamarudin, terbunuh akibat dilanggar oleh sebuah kereta lawan arus yang dipandu oleh seorang pemandu mabuk dan sebelum itu pula sudah berlaku kes anggota polis meninggal dunia dilanggar pemandu mabuk.

Artikel Berkaitan:

“Di Amerika Syarikat, mengikut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) negara itu, kematian disebabkan oleh pemandu mabuk merupakan punca kematian yang ketiga tertinggi selepas sakit jantung dan kanser pada 2017,” katanya.

Mohd Jamaludin berkata, dianggarkan lebih lima peratus penduduk di Barat tidak dapat bekerja kerana ketagih alkohol dan untuk Amerika Syarikat sahaja, jumlah itu dianggarkan seramai 17 juta orang sementara di Australia pula, statistik keganasan rumah tangga menjangkau 600,000 kes setahun akibat ketagihan alkohol dan dadah.

“Dalam syariat Islam, sudah jelas bahawa bukan sahaja meminum, tetapi juga menjual, mengangkut dan menghidang arak adalah satu kesalahan. Bagaimanapun, sebagai masyarakat majmuk, kita akur bahawa melaksanakan pengharaman secara terus agak sukar.

“Namun begitu, itu tidak bermakna bahawa keadaan yang sedia ada dibiarkan tanpa sebarang tindakan. Konsep ‘drink responsibly’ sudah terbukti gagal,” katanya.