20 pemandu mabuk ditahan dalam tempoh lima bulan

Ibrahim Abdul Kadir
Ibrahim Abdul Kadir
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 20 pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan di negeri ini dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini termasuk satu kes melibatkan kematian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Abdul Kadir berkata, dua daripada mereka disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kemalangan dan 18 lagi disiasat mengikut Seksyen 45(1) APJ 1987.

Menurutnya, bagi tahun lepas pula, seramai 24 individu ditahan bagi kesalahan sama dan satu daripadanya disiasat mengikut Seksyen 44(1) APJ 1987 dan 22 lagi dituduh di bawah Seksyen 45(1) APJ 1987.

Sementara itu, katanya, seorang lelaki berusia 62 tahun ditahan jam 9.30 malam tadi kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Lelaki berkenaan ditahan dalam Op Mabuk dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di Jalan Sg Ujong berhadapan Muzium Negeri di sini.

"Suspek memandu kereta jenis Nissan Sentra dan ujian pernafasan dilakukan mendapati bacaan alkoholnya adalah 165mg iaitu melebihi had yang dibenarkan oleh undang-undang iaitu 80mg alkohol," katanya.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai jurujual kereta telah ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 45A(1) APJ 1987, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000, serta boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan.

Artikel Berkaitan: