GPMS bantu golongan mak nyah

Wan Muhamad Hafizzul (dua dari kanan) pada program agihan bantuan keperluan harian kepada golongan mak nyah di Seri Teruntum.
Wan Muhamad Hafizzul (dua dari kanan) pada program agihan bantuan keperluan harian kepada golongan mak nyah di Seri Teruntum.
A
A
A

KUANTAN - Prihatin dengan nasib golongan mak nyah mendorong Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang tampil membantu menyediakan keperluan harian kepada golongan berkenaan.

Setiausaha GPMS Pahang, Wan Muhamad Hafizzul Wan Ismail berkata, sebanyak RM10,000 peruntukan disediakan bagi menyediakan bantuan keperluan harian seperti beras, minyak masak, tepung, telur, gula dan mi segera.

Menurutnya, bantuan berkenaan bukan sahaja untuk golongan berkenaan di daerah ini tetapi membabitkan masyarakat orang asli dan asnaf di Rompin serta Bukit Ibam, Muadzam Shah.

"Kita turut menerima sumbangan daripada penderma sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB. Hasil sumbangan itu dikumpul dan diagihkan secara berperingkat.

"Bantuan kepada mak nyah kali pertama dilakukan selepas mengambil kira kesukaran mereka yang tidak dapat bekerja sepanjang PKP dan PKPB," katanya hari ini.

Katanya, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Persatuan Insaf Pahang (INSAF) mengadakan program kesedaran dan kelas agama khusus untuk golongan itu.

"Saya difahamkan ramai golongan pondan di daerah ini hilang sumber pendapatan apabila tidak dapat bekerja dan ada yang bergantung sepenuhnya kepada bantuan daripada pihak yang prihatin," katanya.

Tambahnya, sebelum ini GPMS Pahang lebih menumpukan kepada program ziarah namun kali ini disediakan bantuan untuk golongan Mak Nyah yang terkesan berikutan PKP dan PKPB.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga berharap lebih banyak pihak tampil menghulurkan sumbangan untuk membantu golongan memerlukan," katanya yang juga penceramah agama bebas.

Sementara itu Pengerusi Persatun Insaf Pahang (INSAF), Mohamed Bakri Abu Bakar bersyukur kerana GPMS Pahang sudi membantu Mak Nyah yang kini terputus sumber pendapatan.

"Selain GPMS kita juga menerima sumbangan daripada kerajaan negeri dan Drugs Intervention Community (DiC), bantuan diterima memberi keceriaan kepada kami yang tidak dapat bekerja mencari rezeki," katanya.