Mok, Mok tubik jeritan cucu cuba selamatkan nenek

Syafiq (kanan) menunjukkan luka kaki akibat terjatuh manakala Muhammad Nafiz Iman (kiri) mengalami lecur kecil pada telinga kiri.
Syafiq (kanan) menunjukkan luka kaki akibat terjatuh manakala Muhammad Nafiz Iman (kiri) mengalami lecur kecil pada telinga kiri.
A
A
A

TUMPAT - Mok, mok, tubik! Itu jeritan seorang cucu yang masuk semula ke rumah sedang marak terbakar untuk menyelamatkan neneknya dalam kejadian di Jalan Lama Wakaf Bharu di sini awal pagi hari ini.

Wanita warga emas tersebut, Zainab Abdul Rahman, 76, yang dipanggil ‘Mok’ itu bagaimanapun ditemui rentung di bahagian dapur rumah oleh pasukan bomba.

Cucu mangsa, Syafiq Baharin, 23, berkata, dia bersama empat ahli keluarga yang lain berjaya menyelamatkan diri dan mengalami cedera akibat melecur pada anggota badan.

Syafiq yang bergenang air mata ketika berceritakan kejadian cuba mencari neneknya itu untuk diselamatkan namun terhalang asap tebal akibat kebakaran rumah terbabit.
Syafiq yang bergenang air mata ketika berceritakan kejadian cuba mencari neneknya itu untuk diselamatkan namun terhalang asap tebal akibat kebakaran rumah terbabit.

Katanya, semasa kejadian dia ketika itu berada di dalam bilik berasingan dan menyedari bekalan elektrik terputus kira-kira pada jam 4.15 pagi.

“Saya baru hendak terlelap, tiba-tiba elektrik yang terputus itu kemudian terpasang kembali sebelum terdengar suara ibu saudara menjerit ‘api, api!

[ARTIKEL BERKAITAN] - Wanita warga emas rentung

“Saya keluar dan nampak api marak di bahagian pintu hadapan rumah lalu menyelamatkan diri dengan berlari keluar melalui pintu dapur manakala ibu saudara pula mengejutkan tiga anaknya dan nenek yang sedang tidur dalam sebuah bilik lain,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian hari ini.

Menurut penuntut Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terbabit, dalam situasi cemas itu, tiga sepupunya, Muhammad Nafiz Iman Abdul Rahman, 13, Nur Balqis, 14, dan Nur Batrisyia,17, sempat menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah melalui pintu hadapan yang terbakar.

Artikel Berkaitan:

Syafiq berkata, individu terakhir yang dilihat keluar rumah itu adalah ibu saudaranya, Masliza Yusof, 48, yang juga ibu kepada tiga sepupunya tersebut.

Sisa kebakaran rumah mangsa yang berlaku di Jalan Lama Wakaf Bharu di sini awal pagi hari ini hingga menyebabkan Zainab maut akibat rentung.
Sisa kebakaran rumah mangsa yang berlaku di Jalan Lama Wakaf Bharu di sini awal pagi hari ini hingga menyebabkan Zainab maut akibat rentung.

“Saya mencari ‘mok’ dan menyedari dia masih berada di dalam rumah menyebabkan saya kembali ke bahagian dapur serta masuk semula untuk menyelamatkannya sambil memanggil-manggilnya menyuruh dia keluar melalui pintu dapur, namun tiada sahutan.

“Asap yang terlalu tebal mengakibatkan saya sesak nafas dan berlari keluar semula hingga terjatuh hingga luka di betis kiri,” katanya sayu dan bergenang air mata.

Sementara itu, Nur Batrisyia berkata, dia sebelum itu tidur bersama nenek dan terjaga serta sempat menolak wanita tersebut supaya keluar dari rumah untuk menyelamatkannya.

“Saya tolak dia, namun dia kelihatan terlalu cemas dan tidak mahu berganjak keluar malah berpatah balik ke dalam bilik sebelum hilang dalam asap tebal.

“Kami semua cemas dan pada masa sama mengalami sesak nafas serta lengan kiri saya melecur terkena api.

"Hanya fikirkan jalan untuk keluar menyelamatkan diri tetapi nenek tidak keluar sehingga ditemui rentung,” katanya yang kini menumpang sementara di rumah ibu saudara di Kota Kubang Labu, Wakaf Bharu.

Nur Batrisyia (kiri) berbalut lengan kiri yang melecur terkena api ketika menyelamatkan diri manakala Nur Balqis cedera lecur pada kaki akibat kejadian itu.
Nur Batrisyia (kiri) berbalut lengan kiri yang melecur terkena api ketika menyelamatkan diri manakala Nur Balqis cedera lecur pada kaki akibat kejadian itu.

Katanya, jenazah Allahyarham Zainab dikebumikan selepas waktu Asar di Tanah Perkuburan Tanjung An-Nur Kota Kubang Labu, Wakaf Bharu di sini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

“Mayat dihantar ke Hospital Kelaboran Tumpat untuk bedah siasat dan diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.