X

Kindly register in order to view this article
!

Cubaan seludup rokok bernilai RM17 juta di Pelabuhan Johor

Johari (tengah) menunjukkan rokok putih yang cuba diseludup melalui Pelabuhan Pasir Gudang.
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya mematahkan dua cubaan menyeludup 98,170 karton rokok putih bernilai RM17 juta di Pelabuhan Johor, Pasir Gudang di sini baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Bahagian Penguatkuasaan, Datuk Johari Alifiah berkata, rampasan pertama pada 18 Mei lalu melibatkan 44,810 karton rokok bernilai RM2 juta dengan cukai dianggarkan sebanyak RM6 juta.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota menahan dan memeriksa sebuah kontena yang diikrarkan membawa klip hos besi tahan karat.

“Namun hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati kontena tersebut berisi rokok pelbagai jenama sebanyak 44,810 karton,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai di sini hari ini.

Beliau berkata, rampasan kedua dilakukan pada 19 Mei lalu membabitkan 53,000 karton rokok bernilai RM1 juta serta cukai sebanyak RM8 juta.

Rokok putih yang cuba diseludup melalui Pelabuhan Pasir Gudang.
Rokok putih yang cuba diseludup melalui Pelabuhan Pasir Gudang.

“Pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah kontena yang didaftarkan membawa buangan aluminium dari luar negara, tetapi rupanya mengandungi rokok

"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967," katanya.

Dalam pada itu beliau mendedahkan, pihaknya berjaya menggagalkan cubaan menyeludup tujuh bungkus dadah jenis methamphetamine seberat 282 gram yang disorokkan di dalam alat pengisar dan lampu hadapan basikal.

"Pada 28 Mei, kira- kira jam 12.20 petang, pasukan cawangan narkotik Johor Bahru menerima maklumat daripada sebuah syarikat kurier berkenaan dua bungkus yang disyaki barang larangan.

"Seterusnya pemeriksaan dilakukan dan mendapati isi kandungan bungkusan tersebut adalah dadah jenis methamphetamine.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus