PM lancar Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek bulan ini

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek bagi tempoh Jun hingga Disember 2020 akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada bulan ini, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, pelan tersebut akan tetap tertumpu kepada tiga matlamat utama, iaitu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.

Dalam merangka pelan ini, beliau berkata, pendekatan kerajaan akan bersandarkan kepada empat ciri, iaitu mesti tangkas dan dinamik, kerjasama sektor awam-swasta diutamakan, memastikan komunikasi menyeluruh dan capaian meluas serta menggunakan pendekatan berdasarkan data.

“Sesungguhnya, Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek ini merupakan peluang kita untuk mengambil peluang baharu yang berbangkit daripada krisis koronavirus (Covid-19) ini demi pembangunan masa depan negara.

“Insya-ALLAH, inisiatif yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri akan membolehkan kita mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya semasa membentangkan Laporan Ketujuh Pencapaian Prihatin-Laksana hari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: