X

Kindly register in order to view this article
!

PGA rampas barang seludup RM233,660

Antara barangan yang dirampas oleh PGA Batalion 8 sepanjang tempoh dua minggu penugasan menerusi Op Benteng Covid-19 di sempadan Malaysia-Thailand.
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM233,660.10 sepanjang tempoh dua minggu penugasan menerusi Operasi Benteng Koronavirus (Op Benteng Covid-19) di sempadan Malaysia-Thailand.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 8, Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, sepanjang tempoh tersebut pihaknya berjaya menahan 20 individu termasuk tiga wanita yang dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan.

"Selain itu, sebanyak 13 kenderaan yang digunakan untuk kegiatan haram tersebut turut dirampas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat antara pihaknya dengan agensi penguatkuasaan di sempadan Malaysia-Thailand khususnya di Kelantan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang turut menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand itu.

Petai, daun palas dan limau nipis turut cuba diseludup masuk ke negara ini secara haram.
Petai, daun palas dan limau nipis turut cuba diseludup masuk ke negara ini secara haram.

"Terbaharu semalam, kita berjaya menggagalkan cubaan menyeludup pelbagai barangan keperluan harian berjumlah RM90,717.90 dan menahan enam lelaki serta seorang wanita warga tempatan bagi membantu siasatan.

"Tangkapan yang dilakukan di pangkalan haram Lubok Gong itu turut menahan lapan kenderaan yang digunakan untuk kegiatan tersebut," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad berkata, kawalan sempadan Malaysia-Thailand yang bermula dari Rantau Panjang sehingga ke Pengkalan Kubor, Tumpat akan terus diperketatkan lagi dalam usaha mengekang aktiviti jenayah lintas sempadan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini secara haram.

Katanya, kawalan sempadan yang ketat itu merupakan salah satu usaha memutuskan rantaian Covid-19.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus