Syarikat diminta nilai semula keputusan pemberhentian pekerja

Sinar Harian semalam menyiarkan aduan pekerja kilang terbabit yang mendakwa diberhentikan kerja dengan notis 24 jam.
Sinar Harian semalam menyiarkan aduan pekerja kilang terbabit yang mendakwa diberhentikan kerja dengan notis 24 jam.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang menggesa sebuah kilang antarabangsa di sini supaya menilai semula keputusan memberhentikan hampir 1,000 pekerja syarikat itu antara 21 hingga 30 Mei lalu.

Exco Sumber Manusia, Belia Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata, perbincangan lanjut perlu dilakukan bagi mencari jalan penyelesaian secara menang-menang antara kedua-dua pihak.

"Saya telah diminta oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk berbincang dan menyelesaikan permasalahan ini.

"Semoga ALLAH memberkati segala usaha kerajaan Pahang dalam membela nasib pekerja dan rakyat Pahang insya-ALLAH," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau sebelum itu memaklumkan, Pasukan Petugas Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang telah membuat lawatan mengejut ke kilang tersebut pada 12 Mei lalu.

Jelasnya, lawatan itu dibuat bagi memeriksa tahap kepatuhan syarikat berkenaan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan Pahang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Tambah beliau lagi, ia juga bertujuan menyemak beberapa aduan daripada pekerja kilang itu mengenai tawaran yang diberikan pihak syarikat, antaranya bersetuju untuk bekerja dan dikuarantin di asrama yang sediakan atau sekiranya tidak bersetuju untuk dikuarantin, pekerja perlu mengambil cuti tanpa gaji serta boleh diberhentikan kerja.

"Jadi, kerajaan Pahang meminta pihak syarikat menilai semula tawaran terbabit dan perlu memastikan semua tindakan berkaitan kebajikan pekerja mestilah dibuat setelah perbincangan dan persetujuan oleh kedua-dua pihak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai lawatan yang dibuat, Mohd Johari berkata, beberapa saranan telah diberikan kepada pihak pengurusan syarikat bagi menambah baik kepatuhan SOP.

Katanya, antaranya kemudahan di asrama mestilah ditambah baik dan pekerja secara sukarela hendak menginap di asrama sahaja dibenarkan berbuat demikian.

"Susunan katil di asrama mesti mempunyai penjarakan satu meter dan peralatan serta bahan pencuci ‘sodium hypochlorite’ perlu disediakan berserta arahan penggunaannya serta kerja-kerja pembersihan pula perlu dilakukan secara berkala," katanya.

Semalam, Sinar Harian menyiarkan hampir 1,000 pekerja sebuah perusahaan antarabangsa di sini akan membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) susulan mendakwa diberhentikan kerja dengan notis 24 jam antara 21 dan 30 Mei lalu.

Kesemua mereka mengemukakan aduan tersebut bagi mendapatkan pembelaan kerana mendakwa pemberhentian 24 jam itu menjejaskan pendapatan sekali gus memberikan tekanan kepada mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kami diberhentikan 24 jam, kerja digantikan warga asing'