Penganggur dijel 5 tahun amang seksual budak

Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu
Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur dikenakan hukuman lima tahun penjara di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun tahun lalu.

Selain itu, tertuduh, Abdul Halim Mohd,62, turut diarahkan menjalani kaunseling dan pengawasan polis selama setahun sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Keputusan dibuat Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh mengaku salah di atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan meraba dan mencium punggungnya di Kompleks H&P Kampung Tiong, di sini.

Selain itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengulangi perbuatan sama ke atas mangsa di dalam lif kompleks berkenaan.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh antara jam 12 tengah hari hingga 12.45 tengah hari pada 2 Mac 2019.

Pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa meraba punggung mangsa di hadapan lif komplek itu antara jam 12.51 tengah hari juga pada hari sama iaitu 2 Mac 2019.

Dengan itu, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Sejurus pengakuan salah tertuduh direkodkan, Nooriah menjatuhkan hukuman lima tahun penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua manakala bagi pertuduhan ketiga pula dijatuhkan hukuman tiga tahun penjara.

Kesemua hukuman penjara diarahkan berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 3 Mac lalu selain diarah menjalani kaunseling dan pengawasan polis selama setahun sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, mangsa memaklumkan kepada ibunya yang tertuduh tidak dikenalinya ada bertindak memegang dan menarik tangannya ke tangga kecemasan semasa bersendirian sedang menunggu lif untuk ke rumah bapa saudaranya di lokasi.

Mangsa memaklumkan tertuduh bertindak menanggalkan seluarnya sehingga ke paras paha lalu meraba dan mencium punggungnya sebelum mangsa menjerit lalu melarikan diri kerana ketakutan.

Selepas pintu lif terbuka, mangsa terus masuk ke dalam lif dan diikuti tertuduh. Mangsa memaklumkan semasa di dalam lif, lelaki itu sekali lagi memegangnya sambil meraba dan mencium punggungnya, tetapi dia hanya berdiam diri sahaja kerana takut dan tidak boleh melarikan diri.

Apabila lif sampai di tingkat rumah bapa saudaranya, mangsa terus keluar lif untuk melarikan diri tetapi dikejar lelaki tersebut dan di hadapan lif, sekali lagi lelaki berkenaan bertindak meraba punggungnya sebelum masuk semula ke dalam lif dan beredar dari lokasi.

Siasatan mendapati tertuduh yang pernah menjalani hukuman penjara atas lima kesalahan mengikut Seksyen 345 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan pada 2003 ke lokasi untuk menemani isterinya yang bekerja sebagai tukang sapu di lokasi.