Warga Indonesia lemas 'kepala air' hanyutkan rumah kongsi

Mayat mangsa pertama ditemui petang semalam selepas hilang lebih tiga hari akibat dihanyutkan arus. - Foto Ihsan bomba
Mayat mangsa pertama ditemui petang semalam selepas hilang lebih tiga hari akibat dihanyutkan arus. - Foto Ihsan bomba
A
A
A

RAUB - Seorang daripada dua warga Indonesia yang dilaporkan hilang selepas rumah kongsi mereka dihanyutkan arus akibat kejadian kepala air di Sungai Chalit di sini 29 Mei lalu berjaya ditemui petang semalam.

Mayat mangsa dikenali sebagai Muhammed Junaidi, 21, ditemui dalam keadaan separuh badan tertimbus pasir dan hampir reput kira-kira jam 3 petang di Sungai Pertang empat kilometer dari tapak rumah kongsi.

Identiti mangsa dikenal pasti berdasarkan pengecaman dua ahli keluarganya yang berada di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, operasi mencari seorang lagi mangsa dikenali sebagai Wahyudin, 25, yang dihentikan kira-kira jam 5 petang semalam diteruskan hari ini.

Menurutnya, kehilangan dua pekerja sebuah kebun durian itu disedari majikan mereka kira-kira jam 10.30 pagi 29 Mei lalu.

Lelaki berusia 60 tahun itu ke kebunnya untuk meninjau keadaan limpahan air sungai sebelum mendapati rumah kongsi ‘hilang’ bersama dua pekerjanya.

“Kejadian dilaporkan kepada polis pada awal pagi 30 Mei lalu sebelum sepasukan anggota polis ke lokasi untuk siasatan sebelum menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Siasatan di lokasi mendapati kawasan kebun durian itu dilanda kejadian kepala air akibat hujan lebat dan rumah kongsi yang dibina di tepi sungai ranap dan dihanyutkan arus. Mangsa dipercayai gagal menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Kama Azural berkata, operasi SAR digerakkan di sepanjang sungai berhampiran rumah kongsi terbabit sebelum dihentikan kerana cuaca hujan.

“Operasi disertai 42 anggota termasuk pegawai melibatkan pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan penduduk kampung.

“Pencarian pada hari kedua (31 Mei) diteruskan melibatkan kawasan tepi sungai sepanjang 4 kilometer berakhir di kawasan Lembah Temir sebelum dihentikan pada petangnya atas faktor cuaca,” katanya.

Menurutnya, pada operasi hari ketiga semalam, pasukan mencari melakukan pencarian melalui susur Sungai Chalit hingga ke jambatan runtuh di Lembah Temir sebelum mayat mangsa pertama ditemui.