X

Kindly register in order to view this article
!

Bicara kes Najib libatkan dana SRC RM27 juta dilapangkan

Najib Tun Razak - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC) yang sepatutnya bermula hari ini telah dilapangkan.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Nur Syahirah Hanapiah, yang mewakili Najib kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan hari ini.

Peguam itu berkata, mahkamah telah menghantar notis kepada pihak-pihak yang terlibat pada 13 Mei lepas bagi memaklumkan mengenai tarikh perbicaraan yang telah dilapangkan.

"Ini berikutan mahkamah memberi keutamaan untuk kes lain melibatkan Datuk Seri Najib yang sedang dalam perbicaraan antaranya kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan laporan audit," katanya.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah menetapkan 27 Julai depan untuk pengurusan kes yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 13 hari bermula 2 sehingga 25 Jun untuk perbicaraan kes itu.

Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta, yang digunakan untuk aktiviti tidak mengikut undang-undang, dalam tiga akaun AmPrivate Banking milik beliau.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai, 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Najib juga menghadapi tujuh pertuduhan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC iaitu tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan membabitkan dana itu.

Kes itu di peringkat hujahan lisan di akhir kes pembelaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus