X

Kindly register in order to view this article
!

8 Julai sebutan semula kes inspektor rogol, dagang wanita Mongolia

Gambar Hiasan
A
A

PETALING JAYA - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 8 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes rogol serta dakwaan memperdagangkan dua wanita Mongolia berusia 20 dan 36 tahun melibatkan pegawai polis berpangkat Inspektor.

Hakim Norshila Kamaruddin menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zahidah Abdullah memberitahu mahkamah bahawa dokumen bagi kes itu masih belum lengkap dan menunggu arahan daripada Jabatan Peguam Negara.

Hafizah berkata, buat masa ini pihaknya masih menunggu arahan lanjut sama ada kes rogol di bawah Seksyen 376 dan pemerdagangan di bawah Atipsom itu akan digabungkan dan dijalankan secara serentak.

Terdahulu tertuduh diwakili peguam, Akmal Jusoh memberitahu mahkamah anak guamnya tidak dapat hadir ke mahkamah kerana ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Petugas dan banduan di kawasan itu juga perlu menjalani saringan selepas seorang banduan dikenal pasti positif Covid-19.

Mengikut pertuduhan, Hazrul Hizham Ghazali, 30, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, didakwa atas enam pertuduhan merogol mangsa pertama, dengan menggunakan kuasa sebagai pegawai kanan polis bagi mendapatkan kerelaannya.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di bilik 203 di sebuah hotel di Petaling Jaya, antara jam 12.30 tengah malam hingga 1 petang, 11 April lalu.

Bagi setiap kesalahan, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(f) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa dengan satu pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di khemah Sekatan Jalan Raya NPE PJS 2 di sini pada jam 5.30 hingga 6.15 petang hari yang sama.

Sementara dua lagi pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa kedua dengan menggunakan kuasa sebagai pegawai kanan polis bagi mendapatkan kerelaannya, di bilik dan lokasi sama, pada jam 7 dan 11 pagi hari sama.

Hazrul Hizham turut didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan maksimum 20 tahun serta boleh juga didenda jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan seorang anggota polis berpangkat Inspektor ditahan selepas disyaki merogol dua wanita Mongolia di sebuah hotel di Petaling Jaya pada 11 April lalu.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan selepas polis menyelamatkan mangsa, yang masing-masing berusia 20 dan 36 tahun di hotel berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Inspektor polis didakwa perdagang dua wanita Mongolia

Inspektor polis mengaku tak bersalah rogol dua wanita Mongolia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus