X

Kindly register in order to view this article
!

Warga UPSI ceriakan golongan asnaf

Dari kiri: Dr Hairi, Penghulu Muallim, Mohd Isa Hamid dan Dr Abu Zarrin komited membantu golongan memerlukan di daerah itu.
A
A

TANJUNG MALIM - Menyedari kesusahan golongan asnaf dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), warga akademik Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI) melancarkan program Infak Asnaf bagi menceriakan golongan tersebut.

Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, Profesor Madya Dr Mohd Hairy Ibrahim berkata, inisiatif program tersebut digerakkan bagi membantu golongan memerlukan meneruskan hidup dengan pemberian barangan keperluan kepada mereka.

Menurutnya, program tersebut disasarkan kepada golongan asnaf dalam mukim-mukim di daerah Muallim dan mukim Hulu Bernam terutama di Kalumpang dengan sebanyak 91 bungkusan barang keperluan dapur disediakan.

"Sumbangan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak dapat membantu dan meringankan beban warga asnaf dalam mengharungi kehidupan tambahan pula ketika sambutan Aidilfitri.

"Barang-barang tersebut diberikan kepada penerima di tiga mukim yang besar melibatkan 61 bungkusan di mukim Muallim, 20 bungkusan Mukim Kalumpang dan 10 bungkusan lagi kepada pelajar-pelajar UPSI yang terkandas akibat PKPB," katanya dalam kenyataan media baru-baru ini.

Sementara itu, pengurus program, Dr Abu Zarrin Selamat berkata, program tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga pendidik Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI

"Sebanyak RM4,550 berjaya dikumpul bagi merealisasikan program tersebut sekali gus dapat membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Katanya, menariknya program itu apabila segala tempahan barangan dilaksanakan secara dalam talian menerusi Kedai Fresh Mart yang diusahakan sebuah koperasi di sini.

"Usaha yang kami lakukan ini bukan sahaja membantu golongan asnaf, tetapi secara tidak langsung membantu kelangsungan ekonomi perniagaan kecil bagi kawasan luar bandar ini.

"Kitaran perbelanjaan berlaku dalam kawasan tempatan maka kelangsungan kegiatan ekonomi terus berlaku bagi peniaga tempatan," katanya.

Dalam pada itu, aktiviti agihan sumbangan turut disertai Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Dr Abd Hadi Burham.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus