Masyarakat Orang Asli ada hak sama rata

P Waytha Moorthy
A
A

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P Waytha Moorthy menegaskan bahawa masyarakat orang Asli mempunyai hak sama rata di mata undang-undang kerana nenek moyang mereka adalah penduduk asal pertama di negara ini.

Katanya kedudukan istimewa masyarakat orang Asli diiktiraf Mahkamah Tinggi malah termaktub di bawah Perkara 8(5)(c) Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab untuk melindungi masyarakat pribumi ini di mana kebajikan Orang Asli terletak di bawah tanggungjawab dan kuasa Kerajaan Persekutuan berbeza daripada kerajaan negeri (Jadual Kesembilan, Senarai Persekutuan No 16 Perlembagaan Persekutuan),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya hak-hak adat yang dinikmati Orang Asli sebagai penduduk pertama di Semenanjung Malaysia terus wujud dan tidak boleh dipadamkan dengan mendakwa ia menjadi tanah negeri, penciptaan tanah rizab atau dalam hal ini, pemberian pajakan atau lesen kepada pihak ketiga atas alasan tanah berkenaan dimiliki kerajaan negeri.

Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menyentuh tentang kesamarataan dan menurut sub (5) (c) menyatakan perkara ini tidak menidaksahkan atau melarang apa-apa peruntukan bagi perlindungan, kesentosaan atau kemajuan orang Asli Semenanjung Tanah Melayu (termasuk perizaban tanah) atau perizaban bagi orang Asli suatu perkadaran yang munasabah daripada jawatan-jawatan yang sesuai dalam perkhidmatan awam.

Waytha Moorthy berkata hak adat itu sendiri adalah suatu bentuk undang-undang tidak bertulis dan adalah tidak munasabah untuk menganggap bahawa adat tidak mempunyai kuasa undang-undang semata-mata kerana ia tidak termaktub dalam undang-undang kerajaan negeri.

"Walaupun tidak termaktub, ia tidak bermakna hak-hak adat orang Asli tidak wujud sama sekali,” katanya.

Jumaat lepas, Jabatan Peguam Negara memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu bagi pihak Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berdekatan Gua Musang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari sama, Peguam Negara Tommy Thomas berkata Jabatan Peguam Negara turut memfailkan injunksi bagi menghalang pencerobohan dan pemusnahan tanah adat demi keuntungan komersial pihak swasta.

Waytha Moorthy menegaskan Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan bertanggungjawab melindungi masyarakat pribumi dan pembaharuan yang dilakukan untuk menguatkuasakan hak-hak adat Orang Asli wujud bersama undang-undang dan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menggesa agar kerajaan Kelantan menimbang semula sebarang perancangan tanpa mengabaikan hak-hak orang Asli. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia