Patuhi akta jika batal kontrak

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

PASUKAN Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) diwajibkan membayar minimum 25 peratus daripada jumlah baki kontrak yang ada jika membatalkan kontrak pemain dan pegawai masing-masing.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, setiap pasukan harus mematuhi Akta Kontrak 1950 dalam menjaga hal kebajikan pemain dan pegawai terlibat.

“Jika terpaksa melakukan pembatalan kontrak, pasukan perlu membayar minimum 25 peratus daripada jumlah baki kontrak yang ada sebagai bayaran pampasan atau ganti rugi kepada pemain dan pegawai.

“FAM turut membuka ruang kepada pemain Piala Presiden dan Piala Belia didaftarkan ke pasukan Liga Super dan Liga Premier musim ini serta menaikkan had umur Piala Presiden 2021 kepada usia 22 tahun,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ketetapan itu dibuat selepas FAM secara rasmi membatalkan tiga pertandingan di bawah kelolaannya musim ini iaitu Piala Presiden, Piala Belia dan MPFL susulan pandemik Covid-19.

Stuart berkata, FAM perlu memberi keutamaan terhadap aspek prosedur operasi standard (SOP) bagi pengurusan sesi latihan dan penganjuran perlawanan iaitu dalam memastikan keselamatan dan kesihatan semua individu yang perlu hadir ke venue latihan dan perlawanan adalah terjamin.

“Tambahan pula terdapat sesetengah pasukan dalam pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia menggunakan padang terbuka sebagai venue mereka selaku tuan rumah, sekali gus menyebabkan kesukaran untuk mengawal pematuhan SOP penganjuran perlawanan.

“Begitu juga bagi MPFL yang mana semua jenis aktiviti sukan di kawasan tertutup dilarang oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), sekali gus bakal menyebabkan beberapa halangan terpaksa dihadapi dalam mendapatkan kelulusan bagi SOP pengurusan sesi latihan dan penganjuran perlawanan.

Artikel Berkaitan:

“Tanpa kepastian sama ada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersayarat (PKPB) akan berakhir pada 9 Jun 2020 atau terus dilanjutkan, FAM terpaksa membuat keputusan sekarang dan tidak boleh menunggu atau menangguhkan lagi keputusan ini,”katanya.