Singapura bina lebih banyak asrama pekerja asing hujung tahun ini

Republik itu merancang untuk membina 11 bangunan khas asrama kekal dalam tempoh dua tahun akan datang, dengan tambahan kira-kira 100,000 tempat dengan reka bentuk dan piawaian baharu.
Republik itu merancang untuk membina 11 bangunan khas asrama kekal dalam tempoh dua tahun akan datang, dengan tambahan kira-kira 100,000 tempat dengan reka bentuk dan piawaian baharu.
A
A
A

SINGAPURA - Singapura akan memulakan program pembinaan besar-besaran asrama pekerja asing yang baharu, dengan ruang untuk menempatkan 60,000 katil, sedia digunakan hujung tahun ini, menurut Menteri Pembangunan Nasional, Lawrence Wong.

“Sasaran kami ialah untuk mengurangkan kepadatan di asrama dan juga penting untuk mereka bentuk asrama baharu yang lebih baik kepada kesihatan awam, terutamanya kepada risiko pandemik seperti yang kita pelajari daripada pengalaman Covid-19,” katanya pada sidang akhbar secara dalam talian mengenai Covid-19 hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja asing jadi kluster ‘bom jangka’ di Singapura

Covid-19: Singapura catat 752 kes baharu

Covid-19: Kes kluster asrama pekerja asing di Singapura meningkat

Pada masa ini, Singapura telah menggunakan fasiliti seperti kem tentera dan dewan sukan serta sebahagian flet HDB untuk menempatkan pekerja ke kawasan itu dalam usaha mengurangkan kepadatan di asrama pekerja.

Lawrence yang juga Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian mengenai Covid-19 berkata, tindakan tersebut merupakan satu penyelesaian sementara kerana akhirnya kawasan tersebut perlu diserahkan semua untuk kegunaan sebenar mereka dan satu penyelesaian yang lebih sesuai diperlukan untuk asrama baharu.

Dalam jangka panjang Lawrence berkata, republik itu merancang untuk membina 11 bangunan khas asrama kekal dalam tempoh dua tahun akan datang, dengan tambahan kira-kira 100,000 tempat dengan reka bentuk dan piawaian baharu.

Sementara itu, Menteri Tenaga Kerja, Josephine Teo berkata, sehingga hari ini, sejumlah 40,000 pekerja asing telah disahkan bebas jangkitan Covid-19 dan bersedia untuk bekerja semula.

Artikel Berkaitan:

Josephine berkata, kira-kira 12,000 daripada mereka merupakan pekerja penting yang telah dipindahkan keluar dari asrama ke penginapan sementara, manakala 20,000 pekerja telah pulih dan ditempatkan secara sementara di pelbagai tempat.

“8,000 lagi pekerja tinggal di asrama,” kata Josephine pada sidang akhbar yang sama.

Josephine berkata, 8,000 pekerja itu sama ada telah diuji negatif ataupun disahkan positif tetapi telah pulih sepenuhnya dan didiscaj, dan tinggal bersama rakan pekerja yang juga telah disahkan bebas daripada virus itu di asrama.

Pada masa yang sama Josephine berkata, kumpulan pertama 60 asrama akan diberikan status ‘bebas’, bermula esok (2 Jun), yang bermakna setiap blok di asrama tersebut telah bebas daripada virus dan setiap penduduk di dalam blok tersebut telah disahkan bebas daripada jangkitan.

Terdapat 43 bangunan khas asrama yang menempatkan kira-kira 200,000 pekerja asing dan 1,200 kilang yang dijadikan asrama untuk kira-kira 95,000 pekerja. - Bernama