Yu Bin Kedam curi perhatian

Yu menunjukkan MyKadnya yang tertera nama penuhnya Yu Bin Kedam.
Yu menunjukkan MyKadnya yang tertera nama penuhnya Yu Bin Kedam.
A
A
A

KEMAMAN - Nama Yu Bin Kedam yang tercatat pada MyKad atau kad pengenalannya menjadikan seorang bapa empat anak sering mendapat perhatian orang ramai.

Selain namanya cuma dua huruf yang menjadi antara nama terpendek di dunia, nama bapanya yang 'rare' atau jarang didengar juga membuatkan ramai yang bertanya tentang perkara itu kepada Yu yang berketurunan Orang Asli dari suku kaum Semak Beri.

Yu meneliti sijil khidmat cemerlang yang pernah diperolehnya sejak menggalas tugas sebagai mandur ladang di bawah Felcra lima tahun lalu.
Yu meneliti sijil khidmat cemerlang yang pernah diperolehnya sejak menggalas tugas sebagai mandur ladang di bawah Felcra lima tahun lalu.

Yu, 41, yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Pergam berkata, ekoran nama yang hanya dua huruf itu, ada yang salah faham kerana menyangka dia hanya menulis nama panggilannya dalam borang yang diisi ketika berurusan di bank.

"Bila pergi bank untuk berurusan kadang-kadang ada masalah, jadi seorang pegawai bank pernah panggil saya 'Encik Yu, ada nama panjang?'.

"Agak lucu sebenarnya bila ada yang minta nama panjang saya sedangkan memang nama saya dua huruf sahaja," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Orang Asli Sungai Pergam, di sini.

Yu berbangga dengan pencapaian cemerlang UPSR anak ketiganya yang kini bersekolah di asrama penuh.
Yu berbangga dengan pencapaian cemerlang UPSR anak ketiganya yang kini bersekolah di asrama penuh.

Setiap kali berurusan tidak kira di bank, klinik mahupun kaunter khidmat pelanggan jabatan kerajaan yang lain, dirinya akan menjadi perhatian orang jika dia menunjukkan kad pengenalan atau diminta memberitahu namanya.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya sejak dari sekolah menengah lagi saya popular sebab nama ringkas sangat. Untung juga nama dua huruf sebab rata-rata cikgu kenal saya dan nama saya mudah disebut.

"Sebab nama sekadar dua huruf ini juga saya senang tulis nama atas kertas peperiksaan atau pada buku, tak perlu habis tenaga tulis nama panjang-panjang dan tak pening kepala," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Durian Guling, Marang itu yang belajar sehingga memperoleh Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau kini dikenali sebagai Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Bagaimanapun, Yu memberitahu, nama terlalu pendek yang dimilikinya itu membuatkan dia tidak terlepas menjadi mangsa usikan dan ejekan rakan-rakan sekolahnya.

Yu turut membela ayam denak kerana hobinya pada masa lapang adalah menjerat ayam hutan.
Yu turut membela ayam denak kerana hobinya pada masa lapang adalah menjerat ayam hutan.

"Ada kawan panggil saya dengan gelaran tak sedap dengar dan saya pernah marah sebab tak suka tapi lama-lama dah lali dan anggap gurauan saja. Namun yang saya pelik, ada kawan panggil saya Man padahal saya tak pernah suruh panggil dengan nama tu.

"Semasa di sekolah rendah iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pergam, nama saya tak dianggap pelik sebab saya berada dalam komuniti saya sendiri," katanya.

Mandur ladang sawit di Felcra Bukit Keladi di Cheneh itu berkata, berdasarkan cerita neneknya, kedua ibu bapanya memilih nama Yu untuknya kerana diambil dari nama orang Cina disebabkan ketika itu berlaku percampuran antara masyarakat Orang Asli di kampungnya dengan orang Cina.

Jelasnya, selain bekerja bersama di kawasan balak, orang Cina juga setiap hari masuk ke perkampungan Orang Asli kerana menjual ikan.

Yu pernah menganggotai Pasukan Simpanan Tentera Darat (PSTD) selama 12 tahun.
Yu pernah menganggotai Pasukan Simpanan Tentera Darat (PSTD) selama 12 tahun.

Kata anak keempat dari lapan beradik itu lagi, dari kesemua enam adik beradiknya yang masih hidup, namanya paling ringkas tetapi nama adik perempuannya juga unik iaitu S Buana, sementara yang lain Gayah, Bunga, Mohd Zaki, Razwan, Lokman dan Johari.

Mengenai nama bapanya pula, Yu berkata, nama sebenar ayahnya adalah Adam tetapi berlaku kesilapan ejaan nama bapanya itu dalam surat beranaknya hingga nama Kedam kekal dalam kad pengenalannya hingga sekarang.

"Nama penuh ayah saya, Adam Bin Terap dan ayah sudah meninggal dunia pada 25 Jun 2017. Nama adik beradik saya yang lain semua berbin atau berbintikan Adam. Cuma saya saja yang lain," katanya.

Keunikan namanya juga turut memberi tempias kepada isteri, Raziah Tilam, 43, dan anak-anak mereka; Natasya, 19; Muhammad Amirudin, 16; Nazira, 14, dan Muhammad Aris, 12, kerana orang turut bertanya tentang dari mana datangnya nama suami dan bapa mereka.

Anak ketiga Yu dan pasangannya turut mengharumkan nama kampung mereka pada dua tahun lalu apabila memperoleh keputusan cemerlang 2A dan 3B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan sekarang sedang bersekolah di sebuah sekolah asrama penuh di Rompin, Pahang.