Penularan baharu wabak Ebola di Republik Demokratik Congo

Wilayah Equateur pernah dilanda wabak Ebola antara Mei dan Julai 2018 yang turut meragut 33 nyawa dan 21 pulih daripada wabak itu. -Foto Agensi
Wilayah Equateur pernah dilanda wabak Ebola antara Mei dan Julai 2018 yang turut meragut 33 nyawa dan 21 pulih daripada wabak itu. -Foto Agensi
A
A
A

KINSHASA - Republik Demokratik Congo semalam melaporkan penularan baharu wabak Ebola di barat laut negara itu beberapa minggu sebelum ia berharap dapat mengisytiharkan berakhirnya epidemik tersebut di kawasan timur.

Menteri Kesihatan, Eteni Longondo berkata, empat individu disahkan meninggal dunia akibat Ebola di bandar Mbandaka.

"Institut Kebangsaan Penyelidikan Bioperubatan (INRB) mengesahkan sampel yang diambil daripada pesakit menunjukkan mereka positif Ebola.

"Kami akan segera menghantar vaksin dan ubat-ubatan ke bandar tersebut," ujarnya.

Difahamkan, Mbandaka yang merupakan bandar terbesar di wilayah Equateur merupakan hab pengangkutan di Sungai Congo yang mempunyai populasi lebih sejuta penduduk.

Wilayah itu pernah dilanda wabak Ebola antara Mei dan Julai 2018 yang turut meragut 33 nyawa dan 21 pulih daripada wabak itu.

"Equateur sudah berpengalaman berdepan wabak itu. Mereka tahu bagaimana untuk menanganinya. Pihak berkenaan sudah mula melancarkan tindak balas sejak kelmarin," jelas Longondo lagi.

Epidemik yang menyerang bahagian timur negara itu telah mengorbankan 2,280 orang sejak Ogos 2018 dan pihak berkuasa kesihatan berharap untuk mengisytiharkan kawasan terbabit bebas Ebola pada 25 Jun depan.

Artikel Berkaitan:

Bagi membuat pengisytiharan seperti itu, sifar kes baharu perlu direkodkan dalam tempoh 42 hari bersamaan dua kali ganda tempoh inkubasi.

Wabak Ebola terbaharu itu adalah yang ke-11 dilaporkan di Republik Demokratik Congo sejak 1976.

Ketika ini, negara dilanda konflik itu juga sedang bergelut dengan ancaman koronavirus (Covid-19) selepas ia mencatatkan 3,195 kes jangkitan dan 72 kematian. - AFP