Jerat sekular falsafah pendidikan

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

SAYA lebih condong menilai FPK (Falsafah Pendidikan Kebangsaan) daripada tiga perspektif. Yang pertama, sebagai Muslim, saya mengutamakan penilaian daripada perspektif al-Quran dan as-Sunnah.

Yang kedua, sebagai anak kepada arwah ayah yang begitu tegas memperjuangkan bahasa negara, saya menilai daripada perspektif istilah bahasa Melayu sebelum kolonialisme. Yang ketiga, sebagai seorang penuntut disiplin falsafah, saya akhirnya menilainya berdasarkan disiplin berfalsafah.

Kesemua ini adalah berdasarkan kerisauan saya sebagai seorang ayah. Ibu bapa patut mengambil berat falsafah pendidikan kebangsaan, bukan sekadar pelaksanaannya kerana ia adalah salah satu faktor yang akan mempengaruhi pendidikan anak kita.

Penilaian saya dibahagikan kepada beberapa artikel saya yang lepas dan akan datang, khasnya dalam Sinar Harian setiap hari Selasa. Wujud kritikan bahawa penulisan saya tidak ilmiah.

Ilmuwan patut mengambil peranan yang aktif dalam mendidik pembaca dalam kalangan ibu bapa untuk berfikir tinggi tentang pendidikan yang pasti membentuk anak mereka.

Bagaimanapun, untuk menuduh bahawa penulisan saya tidak ilmiah langsung adalah tidak adil berdasarkan konteks pembaca penulisan saya.

Saya merujuk kepada dalil al-Quran dan hadis. Adakah dalil-dalil ini tidak cukup ilmiah seperti jurnal akademik? Contohnya, saya telah mengkritik konsep insan seimbang dan harmonis FPK.

Saya cadangkan konsep yang lebih baik iaitu konsep insan kuat dan beramanah berdalilkan surah al-Qasas dan penulisan ulama besar tentang pembinaan tamadun iaitu Ibn Khaldun dalam kitab Al-Muqaddimah.

Artikel Berkaitan:

Adakah kedua-dua rujukan ini tidak cukup ilmiah berbanding penulisan dalam jurnal oleh profesor yahudi Oxford, Cambridge dan Harvard? Al-Quran ialah Hudan Lil-Muttaqin. Ia bukan sekadar ilmiah tetapi ia lebih tinggi daripada sekadar bersifat ilmiah.

Kita sebagai Muslim patut meletakkan al-Quran atas segala jurnal ‘ilmiah’ di dunia. Saya lihat pengkritik penulisan saya gagal mengemukakan tafsiran yang berbeza tentang ayat al-Quran yang saya sebut dan langsung tidak mengemukakan dalil naqli.

Apakah mereka memisahkan wahyu daripada dunia ilmiah? Bukankah ini jerat sekularisme?

Acuan tradisi

Juga, saya telah merujuk kepada penulisan Ibn Khaldun kerana saya berpendirian bahawa kita perlu memahami turath klasik ilmiah kita. Di sini saya ingin cadangkan falsafah pendidikan yang mengikut acuan tradisi nusantara.

Mengapa FPK taksub kepada istilah seperti ‘potensi individu’ yang mula diperkenalkan oleh pendidik sekular Yahudi bernama Carl Rogers apabila beliau memperkenalkan pendidikan humanistic learner centered? Bukankah kita ada istilah yang lebih menepati roh agama iaitu ‘Jati Diri’?

Mengapa FPK taqlid buta kepada penggunaan istilah ‘intelek’? Mengapa tidak ‘akal budi’? Mengapa guna istilah psikologi ‘emosi’? Profesor Thomas Dixon membongkar agenda sekularisasi melalui penggunaan berleluasa istilah ‘emosi’ dalam disiplin psikologi.

Adakah kerana kita terlalu fanatik dengan taksonomi Bapa Reformasi Kurikulum Israel iaitu Benjamin Bloom yang menghasilkan Taksonomi Bloom yang membahagikan domain penilaian pelajar kepada tiga - kognitif, afektif dan psychomotor?

Maka, kita pun berusaha menyamakan FPK dengan tiga domain itu dengan memperkenalkan jasmani (psychomotor), emosi (afektif) dan intelek (kognitif)? Selepas itu kita menempelkan domain ‘rohani’ pula seolah-olah kita memiliki mekanisme untuk mengukur peratusan kerohanian dan keikhlasan seseorang.

Apakah tradisi falsafah dan istilah Melayu Islam tidak cerdik falsafah pendidikan? Saya akan menyambung dalam artikel lain.

Cukup di sini saya cadangkan falsafah pendidikan yang mungkin lebih menepati al-Quran dan falsafah Melayu Islam seperti berikut. Ini hanya rangka kasar.

Penulis memang sedang berusaha memperbaiki kemahiran berbahasa Melayu sendiri. Saya budak baru belajar. Kalau salah mohon betulkan. Bersambung, insya-ALLAH.

* Xifu Naser ialah Tokoh Pendakwah Perak