Penularan Covid-19 dalam kalangan PATI

No Image Caption
A
A
A

SELURUH rakyat pastinya gembira apabila Malaysia kini dalam fasa pemulihan terakhir dalam usaha mengurangkan penularan Covid-19 susulan kejayaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini.

Selain itu, kita juga menyambut baik kenyataan beliau yang memuji pematuhan rakyat Malaysia berada pada tahap yang dalam konteks prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Bagaimanapun, yang membimbangkan kita adalah keadaan pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai masih membawa masalah kepada Malaysia.

Daripada rekod yang diperoleh setiap hari, terbukti tahap penularan dalam kalangan pekerja asing dan PATI masih serius apabila disahkan positif dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19) selepas menjalani pemeriksaan.

KKM sendiri turut melahirkan rasa bimbang mengenai perkembangan itu. Penularan Covid-19 dalam kalangan warga asing ibarat bom jangka masa.

Sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah berjaga-jaga, ia tentunya akan membawa padah kepada Malaysia.

Kita berharap pihak kerajaan akan mengambil langkah lebih tegas terutama di beberapa Depot Tahanan Imigresen (DTI) yang ketika ini dikatakan mempunyai ramai warga asing yang dijangkiti wabak berkenaan.

Kebanyakan pekerja asing ini dikatakan telah ditahan di DTI sebelum jangkitan Covid-19 merebak secara meluas di Malaysia. Soal bagaimana virus dapat menular ke dalam depot tahanan, ia masih dalam siasatan KKM.

Artikel Berkaitan:

Apa yang penting, pihak kerajaan perlu mengambil langkah drastik seperti menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tertentu yang dihuni oleh majoritinya warga asing.

Difahamkan, bagi mengelak ditahan pihak berkuasa, golongan PATI kini menyembunyikan diri dan sanggup tinggal secara ramai-ramai dalam keadaan yang sempit. Usaha memutuskan rangkaian penularan Covid-19 ke atas golongan berkenaan mesti dipertingkatkan.