Polemik gerak politik Najib

No Image Caption
A
A
A

SPEKULASI gerakan melobi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya dilantik sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) bukanlah perkara baharu.

Tahun lalu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz membidas Najib yang didakwa cuba menuntut untuk dilantik jawatan Pengerusi BN dan bukan Pengerusi Lembaga Penasihat BN sepertimana yang digalasnya ketika ini.

Bahkan seorang lagi bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sudah berulang kali menuntut cadangan sama direalisasikan oleh parti itu atas alasan demi mengukuhkan pengaruh UMNO dan BN.

Mengikut perlembagaan parti, mana-mana pemimpin dilantik sebagai Presiden UMNO, secara automatik akan menggalas jawatan Pengerusi BN yang turut diwakili MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Secara teknikalnya, bagi membolehkan seseorang pemimpin daripada kolisi BN ditabalkan menjadi Perdana Menteri, maka individu itu perlu dilantik sebagai Pengerusi BN dalam kalangan pemimpin utama parti-parti dalam pakatan politik itu.

Bagi penulis, desakan supaya Najib kembali dilantik sebagai Pengerusi BN bukan suatu perkara luar biasa dan menghairankan.

Lebih-lebih lagi populariti bekas Presiden UMNO itu kini kembali mencanak menyamai populariti seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu beliau menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan mengepalai Pakatan Harapan (PH) ketika menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dua tahun lalu.

Tidak keterlaluan juga Najib kini dianggap raja politik dalam media sosial tempatan susulan mempunyai pengikut lebih empat juta serta konsisten mengeluarkan kenyataan membidas Pakatan Harapan (PH) dan Dr Mahathir sejak mereka membentuk kerajaan dua tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Kekuatan pengaruh Najib dalam landskap politik negara juga dapat dilihat apabila beliau kini menjadi sasaran utama serangan pemimpin PH dan kem Dr Mahathir melebihi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Bersatu sejak mutakhir ini.

Di sebalik dakwaan wujudnya langkah mengembalikan semula pengaruh Najib dalam politik UMNO serta BN, timbul persoalan adakah gerakan itu mampu direalisasikan?

Bagi penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain, jawapan bagi persoalan itu adalah ‘ya’.

Menurutnya, ramai tidak mengetahui jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang dilepaskan Najib susulan kekalahan BN pada PRU14 sebenarnya ‘diwariskan’ beliau kepada penyandangnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara tidak rasmi.

“Meskipun Ahmad Zahid memenangi pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti sebelum ini, majoriti ahli Majlis Tertinggi yang diterajui beliau adalah terdiri daripada para pemimpin yang pro-Najib.

“Saya berpandangan Najib mengambil strategi ‘undur satu langkah ke belakang, maju semula dua langkah ke hadapan’ sewaktu mendepani kekalahan BN pada PRU14 dengan menjamin sokongan kepada penggantinya itu.

“Atas faktor itu, kita juga dapat lihat Ahmad Zahid masih lagi mengekalkan kesetiaan kepada Najib sehingga kini meskipun sudah diangkat sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN baharu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Ahmad Atory turut menekankan faktor keakraban hubungan Ahmad Zahid dan Najib yang dianggap lebih daripada kawan juga bakal memainkan peranan dalam mengembalikan semula Ahli Parlimen Pekan itu pada kedudukan politik lebih baik.

No Image Caption

Beliau turut mendakwa Ahmad Zahid sendiri pernah mengemukakan terma membabitkan kepentingan politik Najib sewaktu membincangkan usaha pembentukan kerajaan baharu Perikatan Nasional sebelum peristiwa Langkah Sheraton terjadi.

“Ada yang cakap Ahmad Zahid adalah orang (Datuk Seri) Anwar Ibrahim. Namun ramai tidak mengetahui hubungan sebenar Najib dan Ahmad Zahid adalah lebih daripada sekadar kawan.

“Berdasarkan situasi politik semasa, saya yakin Ahmad Zahid tidak kisah memberi laluan kepada Najib untuk menjadi Pengerusi BN dan saya percaya keputusan itu hanya akan menerima tentangan kecil daripada kumpulan minoriti dalam parti,” katanya.

Bagaimanapun, pandangan berbeza dikemukakan penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi yang menyifatkan sebarang usaha melantik Najib sebagai Pengerusi BN secara jalan pintas bakal melanggar tradisi perlembagaan parti UMNO.

Kemarahan

Menurutnya, sekiranya Najib mahukan jawatan itu sekalipun, beliau akan dilihat sebagai tidak menghormati struktur kepimpinan parti sekaligus mencetuskan kemarahan akar umbi parti yang mahukan UMNO serta BN kembali bangkit.

“Bagi saya, alasan melantik Najib kerana beliau popular bukan satu justifikasi kukuh dalam politik semasa kerana beliau perlu menghormati hierarki kepimpinan parti.

“Untuk mendapatkan tiket sah menjadi Perdana Menteri semula, Najib perlu tunggu kes mahkamah membabitkan beliau selesai, seterusnya mengikut tradisi parti dengan bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan akan datang,” katanya.

Awang Azman turut berpendapat sebarang sokongan gerakan melobi Najib pada ketika ini dibimbangi akan membawa rebah kepada pemimpin itu sendiri.

“Saya berpandangan sekarang bukan masa sesuai bagi mana-mana pihak melobi jawatan untuk Najib dalam UMNO dan BN kerana proses pemulihan parti masih berlangsung,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berpandangan tiada keperluan untuk Najib dilantik jawatan Pengerusi BN buat masa ini kerana tindakan itu akan membawa kemelut perundangan dalam parti.

Menurutnya, peranan Najib pada ketika ini sudah boleh dianggap sangat signifikan dalam membantu BN dan UMNO mengembalikan sokongan rakyat dan beliau percaya bekas Perdana Menteri itu faham dengan keadaan semasa.

“Banyak perkara harus diambil kira Najib dan saya percaya beliau sebenarnya lebih selesa berpolitik tanpa memegang sebarang jawatan parti yang signifikan kerana beliau bebas melakukan apa sahaja untuk membantu parti.

“Meskipun tanpa jawatan penting, ramai tidak menyangka Najib berupaya menjenamakan semula dirinya selepas kekalahan besar BN pada PRU14.

“Saya fikir kemampuan itu wajar dijadikan sandaran Najib untuk membantu UMNO dan BN kembali bangkit meraih sokongan rakyat berbanding menuntut jawatan penting parti,” katanya.