BN 'curi' bayaran balik GST: Sokong rujuk Guan Eng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan

Lim Guan Eng - Foto Bernama
Lim Guan Eng - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO Selangor menyokong usul supaya bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di Dewan Rakyat berhubung tuduhannya yang mengaitkan kerajaan Barisan Nasional (BN) merompak bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Rizam Ismail berkata, Guan Eng perlu diambil tindakan berhubung penipuan terbabit.

"Beliau perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi mengembalikan kesucian Dewan Rakyat yang telah dicemari dengan pembohongan dan kekeliruan yang dibuatnya," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Rizam Ismail
Rizam Ismail

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata, sebelum ini, Guan Eng memperbesarkan isu tersebut kononnya BN merompak bayaran GST bagaimanapun baru-baru ini, Ahli Parlimen Subang dari Parti Keadilan Rakyat, Wong Chen dalam Twitter miliknya telah mengesahkan perkara sebaliknya.

"Wong Chen yang juga Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah mengemukakan rumusan dapatan PAC dalam tweetnya yang dengan jelas menyatakan tiada wang hasil GST dirompak seperti mana tuduhan Guan Eng," katanya.

Sebelum ini, Guan Eng menegaskan pentadbiran kerajaan BN telah mengambil bayaran balik GST yang sepatutnya dikembalikan kepada pembayar cukai.

Artikel Berkaitan: