Pulau Pinang rangka SOP hotel, motel dan inap desa

Inisiatif itu diambil memandangkan banyak pusat penginapan akan membuka semula operasi dalam fasa strategi pemulihan ekonomi ketika ini. - Foto 123rf
Inisiatif itu diambil memandangkan banyak pusat penginapan akan membuka semula operasi dalam fasa strategi pemulihan ekonomi ketika ini. - Foto 123rf
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kerajaan Pulau Pinang sedang merangka prosedur operasi standard (SOP) yang bakal diguna pakai di semua pusat penginapan seperti hotel, motel dan inap desa di negeri itu dalam usaha membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Pulau Pinang Yeoh Soon Hin berkata, inisiatif itu diambil memandangkan banyak pusat penginapan akan membuka semula operasi dalam fasa strategi pemulihan ekonomi ketika ini.

"Sektor pelancongan adalah satu segmen yang amat bergantung kepada psikologi orang ramai dan begitu sensitif terhadap keselamatan dan sekuriti. Susulan itu, mendapatkan semula kepercayaan orang ramai untuk kembali melancong selepas pandemik akan menjadi cabaran getir.

"...bagaimanapun saya percaya ia adalah perkara yang perlu kita tangani bersama bagi memastikan proses pemulihan mampu dicapai yang membawa keseluruhan industri ke arah kerjasama antara semua pihak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pembukaan semula Hotel Iconic di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mencipta satu akreditasi sebagai pengiktirafan kepada pusat penginapan yang berjaya mematuhi SOP itu dan akan dipamerkan di laman sesawang kerajaan negeri bagi memudahkan pengguna mengenal pasti pusat penginapan yang mematuhi piawaian ditetapkan.

Setakat ini, sebanyak 82 hotel di Pulau Pinang telah menghentikan operasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa pada 18 Mac lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: