Kembara bahasa Awang Sariyan

Prof Datuk Dr Awang Sariyan -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Prof Datuk Dr Awang Sariyan -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

PROFESOR Datuk Dr. Awang Sariyan, dengan gelaran di gelanggang maya Kembara Bahasa, ialah seorang pejuang bahasa yang konsisten dan komited. Memulakan kerjaya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kemudian ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Brunei Darussalam, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), kembali ke DBP, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Beijing Foreign Studies University dan kemudian kembali ke DBP sebagai Ketua Pengarah.

Tamat khidmat sebagai Ketua Pengarah, beliau menjadi Profesor Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Beijing Foreign Studies University. Seterusnya beliau kembali ke Malaysia berkhidmat semula di UIAM. Terakhir, beliau menyandang Kursi Za’aba di UPSI. Beliau juga pernah menyandang jawatan Profesor Tamu di Universiti Frankfurt, Jerman.

Dengan rentetan kembara perjua-ngannya yang merentas benua itu, maka pelantikannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP baru-baru ini adalah pengiktirafan dan amanah yang tepat, memenuhi keperluan dan tuntutan perjuangan bahasa dalam era yang pantas berubah.

Sebagai pakar bahasa dan pakar dalam gerakan perjuangan bahasa Melayu di peringkat nasional dan antarabangsa, beliau tentunya dapat melihat sama ada secara makro atau mikro, tuntutan, cabaran dan sasaran kerja yang sedang menunggunya di Menara DBP itu.

Selepas lebih setengah abad merdeka, bahasa Melayu masih ‘bergelut’, belum mendapat tempat yang sewajarnya, baik secara fizikal atau bukan fizikal. Secara fizikal: seperti isu penginstitusian dan penggunaan rasmi. Secara bukan fizikal: bahasa Melayu seperti tidak dirasakan penting atau perlu, apa lagi dianggap teras, sekurang-kurangnya dalam pemikiran rakyat, apa lagi lebih meruncing dalam kerangka fikir pembuat dasar dan pelaksananya.

Kumpulan teratas ini (pemimpin, penggubal dan pelaksana) yang menjadi pencetus landasan, gerak dan hala tuju, kemudian menjadi faktor penentu kejayaan misi perjuangan bahasa Melayu, perlu dibina semangat, kekuatan dan keterlibatan mereka dalam setiap fasa. Ini kerana, sejarah menunjukkan golongan ini pernah menjadi faktor yang menjejaskan kelancaran gerakan dan perjuangan murni itu.

Cabaran utama

Maka dalam suasana itu, tugas pendokong dan pejuang bahasa sebenarnya semakin besar dalam persekitaran yang semakin menghimpit. Namun, hubungan baik Awang Sariyan dengan beberapa pemimpin tertinggi negara selepas ini tentunya akan banyak membantu.

Artikel Berkaitan:

Arus globalisasi, pemikiran liberal, pengaruh media sosial yang tiba-tiba muncul menjadi faktor penting dalam kancah politik dan sosial negara sekitar dua dekad ini, telah benar-benar menerjah tiang seri negara, iaitu jati diri bangsa. Sementara dalam keadaan tertentu pula turut mencabar perlembagaan.

Para pemain politik, para pemain media sosial, para pemain gerakan liberal, bersaing mengindoktrinasi pemikiran masyarakat dengan bentuk yang mereka mahu dan dalam beberapa keadaan mereka begitu berjaya ‘memporak-perandakan teras jati diri’ masyarakat.

Pengunaan bahasa Melayu yang ‘sudah dirosakkan’ berleluasa hingga dalam penggunaan rasmi, nilai sopan santun budi bahasa semakin rendah hingga ke tahap pemimpin tinggi, ketaksuban kepada nilai-nilai liberal Barat yang bertentangan dengan nilai sendiri semakin berpengaruh, diperjuangkan secara terbuka.

Bahasa tidak wujud sendiri tanpa bangsa. Justeru, bahasa yang lahir daripada sesuatu bangsa itu terkandung di dalamnya atau bersamanya budaya. Sebab itu, Profesor Diraja Ungku Aziz sentiasa menekankan bahawa bahasa perlu diajar bersama budaya. Tidak boleh terpisah.

Awang Sariyan sendiri menekankan bahasa Melayu perlu diajar bersama pelbagai disiplin ilmu, bukan diajar secara terpisah sebagai satu bahasa sahaja. Dengan cara itu bahasa Melayu mampu mengakar dalam proses mengukuh jati diri bangsa.

Budaya itu ialah cara hidup, westanchung, sistem nilai juga cara berfikir. Kalau begitu, bahasa itu sebenarnya ialah teras dan roh kepada sesuatu bangsa. Memandang remeh bahasa bermakna memandang remeh roh bangsa. Mengabaikan aspek roh itu, akan hampir pasti membiarkan bangsa itu menempa proses ‘kematiannya’. Hilangnya sesuatu bangsa terjadi bila hilangnya bahasa mereka.

Awang Sariyan ialah seorang yang sangat komited dengan tugasnya dan selalu melihat peranannya dalam gerakan bahasa secara holistik. Beberapa ketika sebelum beliau menamatkan tugasnya sebagai Ketua Pengarah, beliau pernah berbisik kepada saya tentang beberapa tugas yang belum selesai.

Cabaran peribadi

Dalam wawancara selepas pengumuman pelantikannya, beliau terus meletakkan beberapa keutamaan. Pertama, sasaran untuk mewujudkan budaya berbahasa yang baik dan santun, mengangkat pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa ilmu dan undang-undang, sebagai pancang tamadun negara.

Kedua, merealisasikan gerak kerja yang sudah dibuat sepuluh tahun lepas, iaitu pindaan kepada Akta DBP yang memberikan kuasa penguatkuasaan kepada mereka.

Ketiga, pengantarabangsaan bahasa Melayu ke seluruh dunia. Bahasa Melayu yang sudah mendapat tempat di lebih 100 buah institusi di seluruh dunia perlu dibantu lonjakannya dengan pelbagai fasiliti baharu yang selaras dengan arus digital. Di China sahaja terdapat 15 buah universiti yang menawarkan ijazah bahasa Melayu.

Selain itu, beliau akan memberi fokus besar kepada penerbitan digital supaya DBP terus relevan berdaya saing dalam arus dan trend penerbitan baru.

Begitu juga Audit Bahasa yang telah berjalan baik, akan diperkemas dan diperluas pelaksanaannya, merangkumi sektor awam dan swasta.

Tentu sekali dengan kembaranya yang begitu jauh sebelum ini, Awang Sariyan akan dapat melihat secara lebih terperinci untuk membuat finishing atau penyudah kepada perjuangan bahasa yang sudah menjadi darah dagingnya. Tentu tidak ada lain yang lebih besar dan penting bagi seorang pejuang bila dia diberi peluang kedua.

**Zainal Mohd Jais ialah Yang Dipertua Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI)